fbpx
UMAIRAH sering bermimpikan seorang lelaki tampan dan segak, sebelum berubah menjadi ngeri ketika tidur. – Ilustrasi Shah Hasan

Wanita ‘temui jodoh’ dengan jin tampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKANAN daripada masyarakat di sekeliling sememangnya mampu membuatkan seseorang itu melakukan perkara di luar logik akal.

Ini termasuk juga hal-hal berkaitan dengan jodoh, biarpun tindakan tersebut boleh dikelaskan sebagai khurafat.

Kisah bermula apabila Umairah (bukan nama sebenar) sudah ‘bernanah telinga’ mendengar kritikan orang kampung yang menggelarnya andartu (anak dara tua).

Menurut wanita yang bekerja sebagai guru itu, pada mulanya, dia menganggap dirinya masih belum dikurniakan rezeki jodoh.

Namun, setelah usianya hampir mencecah 40 tahun, Umairah mula risau sekiranya dia tidak mungkin akan menjalani kehidupan berkeluarga.

“Sejak kecil, saya ingin memiliki keluarga sendiri. Saya memang suka budak-budak, kerana itu saya jadi seorang guru.

“Apabila saya masih lagi tidak menemui jodoh, saya rasa agak tertekan dan mula mencuba pelbagai cara atas nama ‘ikhtiar’,” katanya kepada Panorama.

Suatu hari, Umairah mendapat saranan daripada seorang kenalan di usrah tentang legenda telaga di sebuah masjid lama di Sabak Bernam, Selangor.

Mengikut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut, air di telaga tersebut memiliki banyak manfaat kerana ia terletak berdekatan kawasan masjid.

Ini kerana, air di telaga itu telah ‘dibacakan’ dengan pelbagai ayat al-Quran yang dialunkan oleh orang-orang setiap kali melakukan aktiviti keagamaan di masjid.

Oleh itu, ramai yang mengambil air dalam telaga tersebut untuk tujuan perubatan atau mandi bunga.

Jelas Umairah, biarpun masjid tersebut masih mengekalkan seni bina kayu lama, namun ia sangat cantik dan berseri.

“Saya tak rasa sebarang kelainan, cuma ia sebuah masjid yang sunyi, tetapi bersih dan tenang.

“Saya ambil sebotol air di telaga berdekatan masjid dan campurkan dalam air tab mandian di rumah,” jelasnya.

Masalah mula timbul apabila Umairah mula mimpikan seorang jejaka tampan dan segak.

Pada mulanya, wanita dari Negeri Sembilan itu menyangka mimpi tersebut merupakan petunjuk daripada Tuhan.

Setelah berbulan-bulan, Umairah masih lagi bermimpikan lelaki itu. Tetapi anehnya, dia bermimpi dirinya mengandung.

Situasi semakin curiga apabila badannya sentiasa penat dan lenguh-lenguh di siang hari.

Bahkan, rakan Umairah menegur wajahnya semakin kusam dan tidak bermaya.

Tambah Umairah, dia mula menyedari dirinya juga menjadi seorang pemarah apabila asyik menengking anak-anak muridnya di dalam kelas.

“Saya sudah tidak rasa seperti diri sendiri. Jadi, saya mengadu dengan ustaz di sekolah. Ustaz berkenaan terkejut apabila dengar cerita saya.

“Ustaz membantu saya mendapatkan rawatan menerusi perubatan Islam.

“Ternyata ada jin di telaga itu sedang mendampingi saya,” katanya.

Sewaktu proses perubatan berlangsung, Umairah asyik mimpikan lelaki tersebut berubah wajah menjadi ngeri.

Demi memastikan dirinya lena, dia terpaksa mengambil ubat tidur dan penenang.

Dirinya juga mula muntah-muntah sehingga kehilangan berat badan mendadak.

Akhirnya, setelah beberapa sesi rawatan Islam serta menemui psikiatri untuk masalah kecelaruan cemas, dia semakin pulih.

Ujarnya, perkara tersebut membuatkannya lebih berhati-hati dalam menerima nasihat, biarpun kedengaran Islamik.

“Kadangkala, kita rasa perbuatan itu sudah cukup Islamik kerana melibatkan unsur-unsur keagamaan.

“Bagaimanapun, ia boleh juga jatuh syirik, kerana kita yakin air telaga itu boleh bantu kita dapat apa yang dihajati, berbanding doa terus kepada Tuhan.

“Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk sembuh sebelum perkara berkenaan menjadi lebih melarat,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN