MARAN – “Selepas tamat Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Tekam Utara saya tidak meneruskan persekolahan di peringkat sekolah menengah kerana berasakan ia tidak berbaloi.”
Demikian ujar seorang remaja Orang Asli suku Jakun dari Kampung Sungai Bangkong, di sini, Leman Lebar, 16, berhubung keputusannya tidak meneruskan persekolahan.
“Kedudukan kampung ke sekolah menengah yang paling hampir iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Gelanggi 2 atau SMK Pulau Tawar lebih 30 kilometer, jadi tidak berbaloi untuk ke sekolah.
“Ibu bapa pula tidak halang saya berhenti sekolah menyebabkan saya menjalani kehidupan tradisi keluarga mencari rezeki di kawasan rayau,” katanya di sini baru-baru ini.
Seorang anak Orang Asli suku Semelai dari Kampung Limbahan Tasik Bera, Bera, Asidah Amat, 16, pula berkata, dia berhenti sekolah kerana keluarga tidak mahu dia tinggal di asrama yang berjarak lebih 50 kilometer dari kampungnya.
“Antara sekolah berasrama menjadi pilihan di Bera ialah SMK Mengkarak, manakala murid sekolah rendah pula bersekolah di SK Felda Kumai.
“Ibu tidak membenarkan saya tinggal di asrama kerana menganggap saya tidak pandai mengurus diri sendiri di sana.
“Jadi saya tidak lagi ke sekolah dan membantu ibu bapa membuat kerja kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Keluarga Suku Jakun dari kampung Chendahan Tanjung Puput di Tasik Chini, Pekan, Ah Hing Tangki, 54, mengakui bimbang dengan keselamatan anaknya yang terpaksa berulang-alik menaiki bot setiap pagi untuk bersekolah di SK Kluster Tasik Chini.
“Dalam situasi ini, ibu bapa dan anak-anak yang cekal sahaja yang sanggup meneruskan persekolahan kerana membabitkan keselamatan dan nyawa.
“Namun pihak SK Tasik Chini biasanya menyediakan rumah tumpangan sementara untuk bermalam kepada murid-murid dengan disediakan makanan berzat.
“Orang luar mungkin memperlekehkan anak-anak kami ini ‘manja’, namun sebenarnya ada antara mereka ini sudah berdikari sejak usia tujuh tahun lagi.
“Bayangkan emosi anak-anak ini di lokasi pedalaman yang memerlukan anak pada usia itu berjauhan dengan keluarga dan tinggal di asrama,” katanya. -KOSMO! ONLINE














