PUTRAJAYA – Kerajaan diminta memantau kegiatan penjualan melibatkan kanak-kanak yang dilihat mampu mendatangkan risiko keselamatan serta keciciran pembelajaran.
Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Ku Noor Ammarah Ku Ami berkata, penglibatan ibu bapa perlu dalam mencari penyelesaian terbaik untuk menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
“Menahan ibu bapa dan mengenakan tindakan saman selain merampas barang jualan tidak akan dapat menyelesaikan punca masalah itu.
“Ibarat menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung tidak bertaburan. Kerajaan harus selesaikan dengan cara baik dan berhemah,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Tambah beliau, secara khusus jualan di kaki lima, hentian bas, pasar malam oleh kanak-kanak sudah lama berlaku dan ia bukan perkara yang baharu.
“Kebaikannya adalah mendidik anak-anak berdikari, soal perniagaan serta menjauhi aktiviti tidak sihat.
“Keburukannya, pelbagai risiko keselamatan terhadap kanak-kanak dan jika berlaku kemalangan dan rompak, masyarakat akan berbelah bagi siapa yang perlu dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ku Noor Ammarah berkata, mendidik anak untuk berdikari merupakan sesuatu yang amat bagus, namun mendidik itu perlu tepat dan sesuai dengan caranya.
“Jika kanak-kanak itu secara sukarela mahu melakukan kerja berkenaan selain dipantau oleh orang tua, aktiviti tersebut mungkin tidak menjadi masalah.
“Namun apa yang dipertikaikan di sini ialah apabila kanak-kanak itu berniaga seorang diri tanpa pemantauan orang dewasa itu amat merisaukan.” katanya.














