ALOR SETAR – Pihak Masjid Al Maarufi Seberang Kota, di sini bersedia membantu mempercepatkan urusan pernikahan pasangan yang tular selepas membawa bayi 11 bulan dengan alat bantuan pernafasan menggunakan motosikal baru-baru ini.
Pengerusi Qariah masjid tersebut, Muhammad Hazamer Muslim berkata, pihaknya tidak akan melengah-lengahkan urusan itu sekiranya telah menerima dokumen lengkap bagi proses pernikahan pasangan lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 35 tahun tersebut.
“Kalau sudah ada semua dokumen diperlukan termasuk sijil cerai pihak perempuan dengan bekas suami, kita akan bantu nikahkan mereka.
“Setakat ini saya belum menerima dokumen daripada pihak lelaki dan harap dia dapat selesaikan perkara itu secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kata beliau, lelaki terbabit perlu berurusan dengan Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama bagi tujuan itu.
“Saya sendiri telah menemuinya dan menawarkan bantuan bagi urusan pernikahan itu, jadi saya masih tunggu dokumen-dokumen tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Hazamer berkata, pasangan itu telah diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.
“Pasangan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisah) sementara hari ini (kelmarin). Dalam tempoh tersebut, pihak kita akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.
Jelasnya, selain anak bongsu yang menghidap sakit paru-paru kronik itu, wanita tersebut juga mempunyai empat lagi anak hasil perkahwinan sebelum ini, namun tiga daripada mereka tinggal bersama ibunya di kampung berhampiran di sini.
“Anak keempat dan anak bongsunya yang menghidap paru-paru kronik itu adalah anaknya bersama lelaki ini,” jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Hazamer menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihak masjid tidak mengambil berat mengenai masalah keluarga tersebut.
Beliau berkata, pihak jawatankuasa masjid itu telah mengadakan perbincangan sejurus selepas kisah pasangan itu dan anak mereka tular di media sosial Ahad lalu sehingga ada yang mempersoalkan pihak masjid tidak mengambil tahu.
“Sebelum ini pihak masjid sudah beberapa kali menyalurkan kotak makanan Lembaga Zakat Negeri Kedah kepada Azlan yang tinggal bersama ibunya yang menghidap angin ahmar.
Selain bantuan makanan, pihak masjid pernah memberi bantuan kerusi roda kepada ibunya.
Berita berkaitan: Pasangan tular bawa anak sakit kronik, diarah berpisah















