KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Sepertinya bakat menyanyi yang dimiliki Allahyarham Siti Sarah kini diwarisi anak perempuannya iaitu Dzahira Talita Zahra.
Dia baru-baru ini mencuri perhatian netizen dalam media sosial selepas tular video menyanyikan lagu popular arwah ibunya iaitu Kesetiaan.
Menerusi video tersebut, Talita dilihat sangat menjiwai setiap bait-bait lirik lagu tersebut.
Menurut Talita, datuknya iaitu Raisuddin Hamzah berpesan perlu pandai mengawal pernafasan sekiranya mahu menjadi seorang penyanyi suatu hari nanti.
Menjengah dalam ruangan komen, bapanya, Shuib juga memberi pujian buat anak perempuannya itu kerana pandai memegang mikrofon dengan cara yang betul.
“Pandai anak daddy pegang mikrofon, dulu ibu marah betul bila daddy menyanyi dan cara pegang mikrofon salah,” ujarnya.
Rata-rata netizen juga mengakui bakat dimiliki Talita itu perlu diasah selain berasa sebak mendengar nyanyian remaja berusia 11 tahun itu. – KOSMO ONLINE