BUKIT KAYU HITAM – Hatyai dijangka terus menerima kunjungan ramai rakyat Malaysia meskipun berlaku beberapa kejadian letupan bom di Selatan Thailand sejak kebelakangan ini.
Menurut ejen pelancongan, Izham Muhammad, 31, dari Jitra, dekat sini, orang ramai dijangka terus memenuhi bandar pelancongan itu pada musim cuti sekolah ini.
“Saya jangka hujung minggu ini ramai yang akan mula masuk ke Thailand, kebiasaannya menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis.
“Sebagai ejen pelancongan, belum ada pelanggan yang membatalkan tempahan pakej hanya kerana bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kejadian letupan itu,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, rata-rata rakyat yakin dengan tahap keselamatan di Hatyai, selain lokasi itu jauh dari kawasan pengeboman di Narathiwat, baru-baru ini.
“Hatyai merupakan kawasan pelancongan dan menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan turut dibanjiri pelancong asing dari seluruh dunia,” ujarnya.
Peniaga baju terpakai, Muhammad Qayyum Shah, 36, berkata, dia bersama tiga rakannya membuat keputusan untuk masuk lebih awal ke Thailand bagi mengelak kesesakan pada hujung minggu ini.
“Saya rasa Hatyai selamat untuk dikunjungi dan letupan itu pula berlaku jauh dari sini, namun kami tetap perlu berhati-hati dan akan pulang sekiranya berlaku insiden tidak diingini,” jelasnya.
Menurutnya, dia kerap berkonvoi ke Hatyai bersama rakan dan setakat ini tiada perkara buruk yang berlaku.
Peniaga di Changlun dekat sini, Shuhaimi Ismail, 48, berkata, dia tidak melihat kejadian letupan di Narathiwat akan memberi kesan kepada pelancongan di Hatyai.
“Saya tengok semalam terdapat enam bas yang pulang dari Hatyai singgah makan di Changlun,” ujarnya.
Di Padang Besar, pergerakan keluar masuk warga Malaysia dan Thailand melibatkan aktiviti ekonomi, perdagangan dan lain-lain berjalan dengan lancar.
Menurut peniaga Thailand, Norsurieya Soey, 35, kawalan keselamatan juga berjalan seperti hari-hari biasa di Kompleks ICQS Padang Besar.
“Walaupun keadaan di Selatan Thailand di sebelah Pantai Timur agak panas akibat beberapa siri letupan bom, namun keadaan di kawasan Pantai Barat seperti daerah Sadao di wilayah Songkhla yang bersebelahan Padang Besar masih terkawal.
“Mungkin ada kawalan keselamatan diperketatkan, namun tidak terlihat pada pandangan mata kasar.
“Kita harap orang ramai tidak gusar untuk berkunjung ke kawasan tumpuan pelancong di Padang Besar,” katanya ketika ditemui.
Tambah Norsurieya, kawalan keselamatan di sebelah Padang Besar, Thailand juga tiada perubahan ketara dan aliran trafik juga berjalan lancar.
Katanya, dia berharap keadaan di Narathiwat kembali pulih seperti sedia kala dan tiada kejadian sedemikian berlaku di wilayah Songkhla kerana ia akan menjejaskan ekonomi dan industri pelancongan.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, seorang maut dan 13 yang lain cedera selepas dua serangan bom menggegarkan daerah Cho-airong dan Sukhirin di wilayah Narathiwat. -KOSMO! ONLINE














