fbpx

Semua projek diluluskan perlu siap tahun ini – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika hadir pada majlis cabutan undi bagi Tawaran Kerja Pelaksanaan dan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak di Sibu, hari ini.

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya menggesa semua kontraktor yang telah mendapat tawaran kerja penyelenggaran jalan raya dapat menyiapkan semua projek berkenaan, tahun ini.

Bagaimanapun kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, projek berkenaan mesti mengikut spesifikasi, kualiti serta jadual pelaksanaan yang ditetapkan.

Malah katanya, semua jurutera juga diarah agar memanfaatkan sebaiknya peruntukan RM200,000 yang telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja pembaikan segera yang turut melibatkan kontraktor G1-G4.

“Semoga setiap sen yang disediakan kerajaan ini dapat memanfaatkan rakyat,” tulisnya di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, Alexander memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Sarawak, tahun ini.

“Pada hari ini, cabutan undi melibatkan kerja-kerja di negeri Sarawak dengan peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM50 juta dan melibatkan 64 kerja.

“Sebanyak 41 kerja merupakan kerja penyenggaraan berkala pavemen bernilai RM42.5 juta manakala 23 kerja lagi merupakan kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen bernilai RM7.5 juta,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan bernilai RM300 juta dalam Belanjawan 2024 bagi kerja penyenggaraan berkala pavemen dan berkala bukan pavemen di jalan persekutuan di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh kontraktor G1 hingga G4.

Sebanyak RM200 juta bagi 336 kerja ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya iaitu RM100 juta melibatkan 121 kerja disalurkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Perbezaan peruntukan ini adalah berdasarkan jumlah panjang jalan persekutuan di Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI