fbpx

Pengurusan kes rayuan Yasin disebut 11 Jun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin bersama peguam Ariff Azami selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes rayuan keputusan lepas dan bebas terhadap penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang dibuat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini, tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman berkata, tarikh tersebut bagi memberikan ruang kepada Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin, 49, bagi meneliti rekod rayuan kes yang telah diberikan kepadanya.

“Kalau ikut status hari ini adalah bagi lantikan peguam. Saya telah emelkan rekod rayuan kepada peguam bela. Jadi tarikh pengurusan kes ditetapkan 11 Jun depan,” katanya.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim mewakili pihak pendakwaan sebagai perayu terhadap permohonan tersebut.

Sementara itu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman ketika ditemui selepas prosiding itu memaklumkan, pihaknya bersetuju melantik semula Ariff Azami yang sebelum merupakan peguamnya ketika pendakwaan dilakukan di Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

“Sebenarnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya telah selesai. Cuma dibawa ke Mahkamah Tinggi, saya ikut prosedur dan datanglah.

“Saya harap kes di sini berjalan dengan lancar dan pantas supaya semua berakhir dengan cepat. Lagipun sekarang saya sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (Perak). Itu pun sudah enam bulan dan makan ubat semua serta ikut segala program di hospital itu,” jelasnya.

Sebelum ini, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pelantun lagi Mimpi Laila itu juga didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 29 November tahun lalu melaporkan, Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan namun diarahkan oleh Mahkamah Sesyen agar penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI