fbpx

Tragedi pokok tumbang, kapten monorel terima sijil penghargaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (tengah) ketika menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Ahmad Zahiruddin (kiri) ketika melakukan lawatan kerja ke Wisma Monorail Kuala Lumpur, hari ini. -Foto SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Kapten Monorel, Ahmad Zahiruddin Nordin, 40, ketika tragedi pokok tumbang di ibu negara, baru-baru ini, mendapat pengiktirafan Kementerian Pengangkutan (MOT), hari ini.

Kemahiran Ahmad Zahiruddin yang berpengalaman selama 14 tahun dalam pengendalian tren itu berjaya menyelamatkan lebih 34 nyawa penumpang ketika kejadian itu berlaku.

Ahmad Zahiruddin berkata, amalannya membawa penumpang tren diibaratkan seperti membawa keluarga sendiri, menjadikannya sentiasa peka dan berhati-hati.

Selain itu katanya, tindakan pantas juga berjaya dibuat tepat pada masanya berikutan sistem brek pada tren kini, lebih canggih.

“Saya gembira dan syukur di atas pengiktirafan ini. Masa kejadian, hujan lebat disertai angin kencang menjadikan saya lebih peka ketika itu.

“Dulu pernah berlaku insiden serupa pada 2015 tapi ia cuma dahan, berbanding kali ini sebatang pokok besar. Memang terus saya tekan brek tanpa fikir panjang dan sistem brek bagi gerabak baru ini yang lebih bagus berbanding sebelumnya, juga membantu,” katanya.

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahmad Zahiruddin sewajarnya diberikan penghargaan di atas tindakannya yang berani dan menyelamatkan berpuluh-puluh nyawa.

“Kerana itu melalui pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada mesyuarat pra Kabinet lalu saya nyatakan kepada mereka supaya hargai tindakan beliau.

“Beliau lakukannya dengan pantas dan tenang. Bayangkan jika tren tidak dapat dihentikan tepat pada masanya, sudah pasti ia akan merempuh pokok yang tumbang ketika itu,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, penumpang sebuah monorel bertuah apabila terlepas beberapa saat dengan kejadian pokok tumbang di atas landasan di antara stesen Bukit Nanas dan Raja Chulan akibat cuaca buruk pada pukul 2.20 petang, 8 Mei lalu.

Menerusi satu klip video yang tular di laman sosial TikTok, monorel tersebut adalah paling hampir dengan kawasan kejadian yang menyebabkan seorang maut dan seorang lagi dilaporkan cedera.

Dalam perkembangan lain katanya, kementerian turut meminta supaya Prasarana mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak berkuasa tempatan lain supaya kawasan berisiko berdekatan laluan tren supaya terus dikenal pasti dan dipantau

“Peranan semua pihak penting untuk elakkan kejadian sama berulang. Kerana itu perlu ada koordinasi antara Prasarana dan PBT terutamanya dalam kerja-kerja penyelenggaraan.

“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat tempoh hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI