SYABAS buat Astro kerana sentiasa berusaha tampil dengan program baharu buat tatapan penonton.
Meraih kejayaan luar biasa menerusi program Akademi Fantasi sehingga mencetuskan satu fenomena baharu dalam dunia penyiaran, Astro konsisten tampil dengan deretan program realiti yang menjadi tumpuan penonton, antaranya Sehati Berdansa, Raja Lawak dan Gegar Vaganza.
Terbaharu, muncul pula The Hardest Singing Show (THSS) yang menyaksikan barisan artis terkenal tanah air iaitu Zizi Kirana, Aepul Roza, Kaka Azraff, De Fam, Stacy, Ayda Jebat, Aisha Retno dan Putera Muhammad berlumba-lumba mempamerkan ‘showmanship’ terbaik.
Berkonsepkan ‘Kreativiti Luar Limitasi’, masing-masing mahu jadi yang terbaik bagi merebut gelaran juara yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah RM150,000.
Sebagai pemerhati industri, saya ternanti-nanti ‘look’ program ini apatah lagi barisan pesertanya bukan calang-calang.
Secara peribadi, apa yang dipaparkan Astro menerusi THSS tergelincir daripada apa yang saya harapkan. Paling ketara persembahan pada Ahad lalu.
Umpama menonton sarkas! Cuma kelainan kali ini pemainnya bukan ahli sarkas, ahli akrobatik atau si penghibur badut sebaliknya penyanyi popular tanah air yang terlalu mencuba mempamerkan persembahan paling gempak.
Bak kata seorang teman, tak payah tunggu raya untuk tonton sarkas depan televisyen, tahun ini setiap minggu boleh tengok sarkas. Aduh!
Bukan tiada yang bagus, misalnya persembahan Zizi Kirana dan Aepul Roza meraih pujian ramai. Namun, dek kerana ‘showmanship’ yang diketengahkan beberapa peserta lain, adakah matlamat sebenar penganjuran program itu sampai?
Apa yang pihak penganjur dan barisan peserta mahu tonjolkan sebenarnya? Adakah mahu melahirkan ratu panjat, raja api, ratu akrobatik atau cuba mewujudkan terma baharu buat persembahan pentas?
Adakah definisi ‘the hardest’ itu menuntut persembahan ekstravaganza persis karnival ‘sarkas’?
Kreativiti sebenarnya luas, boleh diterjemahkan di atas pentas dengan cara yang lebih sofistikated dan kena dengan status mereka sebagai artis pujaan ramai.
Menampilkan persembahan di luar kotak juga tidak menuntut seseorang itu mengetepikan sensitiviti masyarakat.
Umpama menghasilkan sebiji kek, bahan dan dekorasinya biarlah kena dengan jenis kek itu. Kalau berlebih-lebihan dan diletakkan bahan yang tidak sesuai, rasanya pasti lari meski cantik dipandang.
Begitu juga dalam persembahan pentas, tak salah pun nak gempak, namun biarlah ‘manis’ dipandang.
Sebagai penonton sejujurnya saya kasihan dengan peserta. Ada yang terlalu mencuba lebih daripada kemampuan mereka sehinga tampak mengah dan tidak stabil ketika beraksi.
Apa pun, pujian wajar diberikan kerana mereka berusaha memberikan persembahan terbaik sehingga sanggup melakukan perkara di luar kebiasaan.
Namun, untuk minggu-minggu seterusnya mungkin boleh mencari konsep yang lebih sesuai dan elakkan melakukan aksi yang boleh menyebabkan kecederaan.
Aspek keselamatan harus dititikberatkan apatah lagi dalam ghairah mempamerkan persembahan ‘luar limatasi’ kadangkala kita terlupa risiko yang menanti. Berhati-hati.














