fbpx

Badak air tarikan safari Kuala Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pengunjung boleh melihat badak air makan pada pukul 10 pagi setiap hari.

PENGEMBARAAN menerokai kawasan tanah lembap bermula saat trak safari yang membawa pengunjung melepasi pintu gerbang besar berwarna kelabu.

Keadaan jalan yang berbonggol serta dikelilingi hutan di sepanjang jalan membuatkan penulis terasa seperti memasuki dunia ‘Jurassic Park’.

Setelah menempuhi perjalanan lebih kurang 10 minit, kami tiba di kandang tiga ekor badak air yang diimport dari Botswana, Afrika.

Menariknya, badak-badak air tersebut memiliki rutin makan yang sama pada setiap hari iaitu sekitar pukul 10 pagi.

Sekiranya pengunjung sempat tiba di kawasan berkenaan pada masa tersebut, mereka boleh memberi makan kepada badak air sambil diawasi oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang bertauliah.

Seterusnya, pengunjung dibawa ke tasik buaya bagi melihat buaya-buaya spesies tembaga yang dianggarkan seberat lebih satu tan.

Difahamkan, terdapat lebih daripada 60 ekor buaya di dalam tasik berkenaan yang rata-ratanya dibawa dari kawasan lain di Semenanjung.

Bagi pengunjung yang mahu melihat proses memberi makan kepada buaya-buaya ini, mereka disarankan untuk datang pada hujung minggu bermula pukul 11 pagi.

Pengalaman safari di Paya Indah Discovery Wetlands, Kuala Langat Selangor itu dikendalikan secara bersama oleh Gamuda Land dan pihak Perhilitan.

Menurut Ketua Riadah bagi Gamuda Land, Amarhan Leuchamanan, jelajah safari yang memakan masa lebih kurang dua jam itu meliputi kawasan 450 hektar tanah lembap semula jadi.

“Kawasan ini mempunyai 14 spesies reptilia termasuk buaya, ular, penyu dan banyak lagi. Di sini juga ada 225 spesies burung, badak, memerang serta beberapa mamalia lain.

“Selain menaiki trak pikap, pengunjung juga boleh menjelajahi kawasan tanah lembap ini menggunakan basikal dan pada masa akan datang dengan menunggang kuda.

“Mereka akan diberikan alat pengesan lokasi oleh ‘ranger’ dan boleh merujuk nombor kecemasan di sepanjang laluan sekiranya perlu,” katanya kepada Horizon.

Penulis (kiri) bersama rakan-rakan media menaiki trak pikap sewaktu menjelajah Paya Indah Discovery Wetlands, Kuala Langat, Selangor.

Selesai melihat haiwan darat, pengunjung dibawa meneroka flora dan fauna di sekitar tasik dengan menaiki bot.

Tasik bekas lombong bijih timah berkeluasan 2,438 meter persegi itu merupakan habitat ikan air tawar seperti toman, haruan, baung, pacu dan tapah.

Selain daripada ikan, tasik dengan kedalaman melebihi tujuh meter itu merupakan habitat bagi bunga teratai.

Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri pokok periuk kera serta sarang burung cak tempua yang ada di sepanjang laluan tasik.

Bonus pada hujung tahun, pengunjung berpeluang melihat spesies-spesies burung unik yang migrasi ke tasik tersebut.

Tambah Amarhan, pengunjung juga boleh menyewa bot untuk melakukan aktiviti memancing.

“Bagi kaki pancing, mereka boleh ‘walk in’ sahaja untuk sewa bot dan melakukan aktiviti tangkap dan lepas.

“Ikan-ikan ini hidup liar di tasik, jadi saiznya besar. Pasti para pemancing teruja bergambar dengan hasil tangkapan mereka,” ujar Amarhan.

Di akhir jelajah, pengunjung dibawa ke Wetlands Arboretum Centre yang dibuka kepada umum pada Ogos tahun lalu.

Wetlands Arboretum Centre merupakan sebuah galeri pendidikan yang dikhususkan untuk memperkayakan biodiversiti flora dan fauna di Paya Indah Discovery Wetlands serta mempelajari budaya Orang Asli.

Galeri ini terdiri daripada makmal untuk menjalankan kajian serta bengkel, sistem pertanian secara moden dan mempelajari gaya hidup masyarakat Orang Asli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI