fbpx
Tempat buangan sisa makanan di pasar menjadi tumpuan keluarga Noah Ibrahim bagi mencari serta mengumpulkan sayuran atau buahan masih elok.

Trend ‘menyelam sampah’ bantu lestari alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS memilih untuk bekerja sendiri, pasangan suami isteri itu juga memulakan aktiviti rumah ladang (homestead) sebagai usaha mereka untuk menghasilkan sumber makanan sendiri.

Selain bercucuk tanam, mereka turut menternak ayam dan itik yang menjadi sumber protein buat keluarga.

Namun begitu, dalam melakukan aktiviti rumah ladang, mereka tidak menafikan ia juga menelan kos tinggi terutama untuk menyediakan makanan bagi ternakan.

Menurut Noah Ibrahim Wells Iskandar, sebagai langkah untuk mengurangkan kos, dia dan isteri melaksanakan alternatif untuk mendapatkan makanan ternakan dengan menyelam sampah atau lebih lazim disebut masyarakat sebagai dumpster diving.

“Menyelam sampah ini merupakan opsyen yang terlintas di fikiran selepas kami memikirkan sumber lain untuk makanan ternakan yang semakin bertambah. Sebelum ini, ia hanya diberikan sisa makanan dari rumah selain dedak dan jagung.

“Pada masa sama, setiap kali ke pasar, kami lihat banyak sayur, buah dan sisa jualan peniaga yang dibuang di tempat sampah dan ia masih dalam keadaan baik serta belum rosak sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya yang menetap di Setiu, Terengganu, selepas melihat sayur dan buah itu tidak lagi diperlukan peniaga dan masih dalam keadaan baik, dia dan isteri memulakan aktiviti ‘menyelam’ dalam longgokan sampah tersebut untuk mengumpulkannya.

Dumpster diving atau menyelam sampah adalah aktiviti mencari sesuatu yang masih layak guna dari sisa komersial, kediaman, perindustrian dan pembinaan. Biasanya aktiviti ini mencari barang-barang yang tidak digunakan atau dibuang oleh pemiliknya tetapi dianggap berguna kepada pemburu.

Antara barang yang sering menjadi buruan aktiviti ini ialah sisa bahan kitar semula seperti logam, botol plastik atau kotak, pakaian, perabot, elektronik, sisa pertanian dan banyak lagi yang masih boleh diguna atau dijual semula.

Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan oleh orang yang kurang berkemampuan untuk menampung keperluan hidup, namun terdapat juga mereka yang menjalankan aktiviti ini sebagai hobi, usaha melestarikan alam sekitar atau alternatif menjimatkan kos khususnya buat penternak kecil-kecilan.

Aktiviti dumspter diving melibatkan makanan semakin dikenali dalam kalangan pengguna media sosial akhir-akhir ini berikutan pengkongsian pengamalnya.

Salah seorang pengguna media sosial yang mengamalkan dumspter diving untuk memberi makan arnab.

Bagi Noah Ibrahim, di Malaysia, aktiviti menyelam sampah sebenarnya sudah menjadi kebiasaan kerana ramai terutama di ibu kota yang mencari sisa kitar semula yang boleh dijual kembali.

Begitu juga buat mereka yang menyelam sisa perladangan atau jualan di pasar sebagai sumber makanan ternakan yang menjadi perhatian kerana kerap dikongsikan penternak kecil.

“Sebagai penternak, menyelam sampah kini sudah menjadi rutin kerana kami dapat membekalkan sumber makanan ternakan secara percuma dan dalam kuantiti yang banyak.

“Terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh ditemui seperti sawi, kubis, cili, petola, timun, buah mangga dan lain-lain yang boleh mencecah kira-kira 50 kilogram (kg) atau lebih dalam sekali pencarian,” ujarnya yang kerap menyelam sampah di Pasar Bandar Permaisuri, Kampung Buluh, Permaisuri, Terengganu itu.

Jelasnya, hampir setiap hari mereka ke pasar untuk menyelam sampah dan mengumpulkan sisa makanan itu yang bukan saja untuk ternakan tetapi juga dijadikan baja kompos untuk tanaman.

Berkongsi tentang pandangan skeptikal masyarakat, isterinya, Zarah Ariffin Alkhadri Syed Ridzuan @ Syed Norshah memberitahu mereka juga tidak lari daripada dipandang sinis terutama oleh netizen.

Turut berkongsi pengalaman menyelam sampah di laman TikTok, @zarah_barakahorganic, Zarah Ariffin mengatakan bahawa dia tidak mengambil endah akan hal itu dan memfokuskan tentang manfaat daripada aktiviti tersebut yang banyak membantu kewangan keluarga.

Katanya apa yang penting adalah mereka tahu aktiviti tersebut bukan hanya untuk memenuhi keperluan tetapi sekali gus membantu menjaga alam sekitar dengan mengurangkan sisa makanan dan buangan yang semakin meningkat saban tahun.

“Selain itu, kita juga mencerminkan etika yang baik dalam aktiviti menyelam sampah seperti menjaga kebersihan diri, memastikan tempat sampah yang diselam tidak berselerak dan berkongsi ilmu dengan penternak lain untuk manfaat bersama.

“Malah, ia juga merupakan satu aktiviti yang boleh dilakukan seisi keluarga yang saling membantu mengumpulkan serta memberikan ia kepada ternakan,” kongsinya.

Selain keluarga Noah Ibrahim, aktiviti menyelam sampah ini turut dilakukan pengguna TikTok, @ummikampung.

Dalam perkongsian videonya, Ummi turut berkongsi tentang aktiviti menyelam sampah yang dilakukan bukan sahaja untuk memberi makan haiwan ternakannya bahkan ada juga yang digunakan untuk dimasak.

“Saya terinspirasi untuk melakukan aktiviti menyelam sampah selepas melihat perkongsian Zarah Ariffin di TikTok dan selepas melakukannya saya menyedari bahawa ia sangat membantu dalam menjimatkan kos isi rumah.

“Setiap Jumaat, saya akan lakukan dumpster diving ke pasar pagi, kutip sayur orang buang. Yang mana elok, saya ambil dan makan sendiri atau bagi jiran, mana yang dah tak elok (dijadikan sumber makanan isi rumah), saya bagi arnab, itik dan angsa.

“Semua orang boleh lakukan ini dan ia tidak merugikan, kebanyakan bahan ditemui masih elok dan masih layak digunakan selagi tidak tercemar atau busuk,” kongsinya dalam satu unggahan videonya yang meraih 30,000 Like.

Dalam usaha menjimatkan kos dengan menyelam sampah, penternak pada masa sama perlu memastikan bahawa hasil yang diperoleh juga selamat untuk ternakan.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin memberitahu, penternak kecil yang menjadikan bahan buangan sayuran dan buah-buahan dari pasar tani dan pasar segar ini perlulah memastikannya tidak dicemari dengan kotoran-kotoran najis dan kulat.

“Selain itu juga, perlu dipastikan bahan buangan itu tidak mengandungi kotoran-kotoran fizikal lain seperti logam, plastik dan lain-lain bahan yang boleh mencederakan sistem pencernaan ternakan sekiranya dimakan.

“Penternak kecil boleh berbincang dengan penjual-penjual sayuran ini agar meletakkan sayuran serta buahan yang rosak di dalam bakul khas yang disediakan bagi menjamin mutu kebersihan bahan sebelum diberi makan kepada ternakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN