SUDAH menjadi jenama ampuh, Search terbukti sebuah band paling menyerlah dan ikonik dalam sejarah muzik genre rock tanah air.
Bermula dengan Cinta Buatan Malaysia pada 1985, mereka menjadi kumpulan berpengaruh di Malaysia, bahkan asas penting kepada evolusi dan tumbuhnya band-band rock lain sehingga ke hari ini.
Lebih empat dekad dalam belantara muzik tanah air dengan deretan pencapaian dan konsert, pendek kata, orang kurang waras pun tahu pencapaian yang diraih kugiran tersebut.
Setelah mencetak sejarah dengan kejayaan siri konsert Fantasia Bulan Salju yang pertama kali dianjurkan di Arena of Stars pada Ogos 2023 disusuli Fantasia Bulan Salju Live In Singapore awal Januari lalu, Search masih tiada lelah.
Petanda belum mahu berhenti mengekalkan keutuhan dan keunggulan mereka, pemuja bakat kumpulan legenda itu sekali lagi bakal disajikan dengan konsert berskala besar pada tahun ini.

Konsert orkestra
Tidak tampil dengan persembahan klise, Search akan menemui peminat di sebuah konsert berkonsepkan orkestra berjudul Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung 21 September di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Sehingga kini kekal relevan, vokalisnya, Datuk Amy berkata, mengadakan konsert mega pada usia lebih empat dekad adalah penanda aras bahawa karya yang berkualiti akan sentiasa didamba dan abadi di hati peminat.
Atas alasan itulah, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abd. Rahman, 66, berkata, Search tidak mempunyai sebab untuk menolak lamaran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) menjayakan sebuah lagi konsert mega September nanti.
“Undangan demi undangan seiring pelbagai tawaran yang datang buat Search untuk mengadakan konsert berskala besar tidak membuatkan kami bermegah.
“Sebaliknya lebih kepada Search melihat muzik atau karya yang telah dihasilkan sekitar tahun 1980-an dahulu masih relevan serta dinantikan untuk dipersembahkan secara langsung kepada peminat.
“Meskipun Search tetap mendendangkan Isabella dan Fantasia Bulan Madu untuk ribuan kali, hakikatnya karya-karya inilah yang mahu didengarkan peminat senior dan ‘salam perkenalan’ buat pendengar zaman kini terhadap keunggulan era rock dahulu,” ujarnya seirus.
Paling utama kata bapa kepada pelakon Nabila Huda itu, Search Symphonic Live In Kuala Lumpur bakal menjadi satu lagi persembahan yang tidak akan dilupakan peminat.
“Walaupun kami akan melantunkan rendisi lagu yang sama tapi semuanya akan diulang kemas semula dengan gabungan muzik rock dan orkestra.
“Kami percaya, gabungan kehandalan ahli Search seiring genius pemain-pemain orkestra bakal menjadikan persembahan malam itu nanti sebagai konsert terbaik daripada kami dengan penghasilan bunyi-bunyian mahal.
“Gabungan muzik ini bakal memberikan dimensi dan pengalaman berbeza buat peminat. Nantikan bagaimana harmoninya jalinan muzik Search dan balutan orkestra nanti,” katanya panjang lebar.

Search adalah institusi
Ibarat satu tubuh berkepala dua, Search kini dilihat terbahagi kepada dua jentera, masing-masing digerakkan dengan agenda berbeza.
Selesai kisah konsert, persoalan tentang konflik dua ‘blok’ Search dan cadangan segelintir pihak agar nama kumpulan itu boleh digunakan semua ahli jika membentuk band baharu, suasana tiba-tiba bertukar suram.
Tampil meleraikan kusut, pemain bass Search, Nasir Daud menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea mengarut.
Ujar Nasir, 65, saranan tersebut tidak seharusnya ditimbulkan kerana Search adalah sebuah institusi yang perlu dihormati.
“Cadangan itu tak perlulah diberi perhatian. Benda sebegini tak pernah terjadi dan kebanyakan benda-benda pelik ini, berlaku di Malaysia sahaja.

“Jenama Search ini adalah satu institusi yang orang boleh rujuk. Ini bukan baju yang boleh sewenang-wenangnya disarung atau umpama makanan. Ini satu institusi dan tolong hormatinya.
“Saya rasa, lebih baik sekiranya Search pergi ke kolej atau universiti untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama generasi baharu,” tegasnya.
Disoal mengenai isu royalti daripada album Rockology Search: Kid’Din Collection yang dikeluarkan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid tanpa pengetahuan mereka, Nasir enggan mengulas lanjut, namun menegaskan tindakan yang bakal diambil adalah mengikut saluran betul.
“Kami tak mahu cakap apa-apa dah. Bukan abaikan atau apa, tapi kita rehat dahulu buat sementara waktu.
“Apa pun nanti biarlah saluran yang betul. Saya tak katalah nak pergi ke mahkamah, tapi saluran yang betul.
“Kami tak tunggu apa pun. Kami tak kisah. Benda ini dah tular dan semua orang dah tahu. Cuma, kalau ada pun, saya rasa saya tak nak sentuh sebab nanti melarat-larat,” tutupnya.
Enggan merosakkan mood baik empat legenda itu, penulis mengubah haluan soalan dengan bertanyakan Amy tentang keberangkatannya ke Tanah Suci untuk menunaikan haji kelak.

Tunai haji
Muka serius kembali tersenyum, Amy berkata dia bakal ke sana bersama isteri tercinta, Norhasliza Hassan pada 6 Jun depan.
“Insya-Allah, saya dan isteri akan berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji selama lebih kurang tiga minggu.
“Saya memang berdebar. Umrah saya dah biasa pergi dan untuk haji, saya serahkan seluruh jiwa dan raga saya kepada Allah. Doakan saya,” tuturnya menutup bicara.















