fbpx

Projek lebih RM5 juta atasi banjir kilat Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Puchong dekat sini dijangka dapat diatasi apabila projek mitigasi berkaitannya dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, projek yang menelan belanja lebih RM5 juta tersebut melibatkan beberapa fasa kerja termasuk penaiktarafan sistem saliran di hadapan IOI Mall Puchong yang kini telah siap kira-kira 50 peratus.

“Kerja-kerja tersebut telah dimulakan bermula Mei tahun lalu yang dijangka siap hujung tahun ini.

“Selain itu, tiga lagi kerja penyelenggaraan membabitkan tiga kawasan iaitu di simpang Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP)-Lebuh Puteri, sekitar Puchong Indah dan Kampung Bunga Melor di Batu 14 akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama pihak berkepentingan berkait projek mitigasi banjir kilat di kawasan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Sze Han yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara menjelaskan, kerja-kerja tersebut akan memperbesarkan sistem saliran dengan sebahagian aliran air sedia ada akan dialihkan ke kolam tadahan berdekatan.

Sebelum ini, kawasan Puchong terutama IOI Puchong antara lokasi di sekitar Lembah Klang yang kerap mengalami banjir kilat sehingga merosakkan kenderaan yang di parkir di kawasan sekitarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Sze Han berkata, penambahan kawasan perkhidmatan pengoperasian Van Demand Responsive Transit (DRT) Mobiliti Selangor akan diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

Sistem DRT di Selangor adalah merujuk kepada penggunaan sebuah kenderaan secara perkongsian seperti van dan bas kecil yang dipacu oleh perisian pintar bagi memastikan pengguna dari lokasi berbeza dapat diambil serta dihantar ke destinasi berbeza mengikut masa yang ditetapkan.

“Ketika ini projek rintis itu dilaksanakan di lapan lokasi terpilih yang berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit iaitu Puchong, Subang Jaya, Ampang, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Hulu Kelang, Sungai Buloh dan Universiti Putra Malaysia (UPM)-Serdang,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI