fbpx

Inisiatif pasar malam dalam kampus dengan ‘harga student’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANEKA makanan dijual pada harga lebih rendah berbanding pasar malam di tempat lain.

DAHULU, pasar malam menjadi lokasi pilihan ramai untuk membeli pelbagai jenis makanan yang pastinya dapat memenuhi ‘tekak’ setiap pengunjungnya.

Lebih menarik, harga juadah ditawarkan juga lebih murah berbanding pasaran.

Pada hari ini, keseronokan pergi ke pasar malam tidak lagi sama kerana harga juadah hampir sama di kedai luar.

Pernah juga sebelum ini, isu itu menjadi berita di dada akhbar kerana peniaga didakwa mengenakan harga ‘kayangan’ susulan kenaikan kos bahan mentah.

Cakna dengan situasi itu, penuntut Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Profesional Mara (KPM) di Ayer Molek, Melaka menzahirkan idea mengadakan pasar malam Aymo Mercato di dalam kampus yang menawarkan ‘harga student’ kepada para pengunjung bermula bulan lalu.

Aneka mi goreng kawah dijual pada harga RM3 sebungkus, nasi tomato (RM6) sebungkus, air kopi premium (RM7) dan pelbagai kuih goreng serendah RM5 termasuklah kentang putar serta sosej gergasi.

Setiausaha program, Siti Nor Ireen Mohd. Padri, 20, berkata, pasar malam Aymo Mercato itu dianjurkan pada setiap hari Rabu melalui kerjasama dengan peniaga pasar malam tempatan.

Ujarnya, sehingga kini, lebih 16 peniaga mengambil bahagian, manakala enam lagi merupakan gerai yang dibuka oleh kumpulan pelajar jurusan itu.

“Sebagai penuntut pengajian perniagaan, pelaksanaan program ini dapat membantu kami memahami dan merasai sendiri situasi sebenar di lapangan.

“Antara yang dapat dipelajari adalah dari segi kaedah pemasaran, pengurusan dan memahami dinamik sesebuah perniagaan.

“Bagi para peniaga pula, kita menawarkan harga tapak yang sangat rendah dengan ‘crowd’ kampus ini lebih 700 pelajar.

“Selain itu, pengunjung dari luar dialu-alukan untuk datang membeli pelbagai juadah pada harga siswa,” katanya.

ORANG luar juga boleh berkunjung
ke pasar malam Aymo Mercato di dalam kampus KPM di Ayer Molek, Melaka.

Salah seorang pelajar, Muhammad Alif Haikal Mat Fadil, 20, memberitahu, dia mengambil peluang menjual kopi premium di pasar malam itu dengan menggunakan pengalaman ketika bekerja di sebuah kafe di Terengganu kira-kira dua tahun lalu.

“Dulu saya kerja di kedai kopi selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi dengan sedikit pengalaman yang ada, saya cuba menjual sendiri minuman kopi ini.

“Alhamdulillah, setiap minggu saya dapat jual kira-kira 50 cawan kopi untuk pelbagai jenis pilihan kopi termasuk latte, caramel latte dan hazelnut latte pada harga RM7 sehingga RM8 secawan,” katanya.

Tambahnya, modal perniagaan itu dijana 100 peratus daripada pelbagai aktiviti lain yang dilakukan di bawah program kolej dan keuntungan diperolehi dimanfaatkan untuk acara pada masa hadapan.

Dalam pada itu, seorang peniaga tempatan, Nor Fadhzillah Mat Gadis, 46, berkata, dia mengurangkan harga sehingga RM2 bagi juadah yang dijual di pasar malam Aymo Mercato bagi membolehkan para pelajar dapat membeli makanan.

“Ini kali pertama kami berniaga di pasar malam di dalam kampus. Kami jual nasi tomato pada harga RM6, nasi ambang RM7, begitu juga menu lain semuanya kurang RM2 berbanding harga berniaga di tempat lain.

“Harga ini khas untuk pasar malam Aymo Mercato supaya para pelajar dapat membeli dan pelanggan yang datang dari luar kampus pula dapat menikmati penjimatan,” katanya.

Menurut Pengarah KPM Ayer Molek, Shamsiah Kandar, program pasar malam itu pernah dilaksanakan pada 2017, tetapi terhenti selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, aktiviti pasar malam itu diaktifkan semula selepas mengambil kira impak positif yang dibawa bagi mengasah kemahiran para pelajar di bawah jurusan perniagaan.

“Para pelajar yang terlibat akan membuat pembentangan laporan perniagaan masing-masing melibatkan keuntungan, kerugian dan modal.

“Program pasar malam ini juga memupuk nilai kerjasama dalam kumpulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI