fbpx
ISYARIANA

Lebih baik jaga tepi kain sendiri – Isyariana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARAPKAN panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan.

Begitulah luah rasa yang tersimpan di relung hati pemilik nama Isyariana Che Azmi tatkala beberapa tawaran lakonan dibatalkan atas alasan pihak produksi menginginkan pucuk muda menghiasi kaca televisyen.

Wanita yang mesra disapa Isya itu bagaimanapun tidak berasa kecewa mahupun berkecil hati. Baginya, industri hiburan berhak menentukan pilihan pelakon bagi memenuhi kehendak penonton.

“Saya sendiri sudah beberapa kali ditolak produksi dan digantikan dengan pelakon baharu. Awalnya saya berasa kecewa tetapi setelah beberapa kali berlaku, saya mula reda dan terima tiada rezeki untuk itu.

“Mungkin kerana kehendak penonton mahu melihat wajah baharu menghiasi televisyen. Pengaruh media sosial turut memainkan peranan.

“Boleh jadi penonton yang ingin melihat saya terdiri daripada ‘mak cik-mak cik’ yang tidak mempunyai media sosial. Jadi mereka tiada platform untuk bersuara berbanding golongan belia yang aktif dengan dunia digital,” katanya yang hampir sedekad bergelar anak seni.

ISYA bakal muncul dengan filem terbaharu arahan Ahmad Idham, Saka Perawan yang turut dibintangi Azlee dan Yassin Senario, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak serta Sophia Albarakbah. – Pakaian: TIMBERLAND MALAYSIA @timberlandmy

Gred lakonan

Melihat tempoh masa yang sudah menjangkau satu dasawarsa, sedikit sebanyak mematangkan Isya dengan selok-belok kehidupan anak seni.

Biarpun beberapa kali ditolak, itu tidak mematahkan semangat anak kelahiran Temerloh, Pahang berkenaan untuk memberikan mutu lakonan terbaik.

Ditanya adakah perkara itu berlaku kerana dia mula meletakkan harga tinggi, Isya menafikannya.

“Kalau bercakap saya mula menuntut harga tinggi, jelas tidak. Saya tahu kemampuan lakonan sendiri dan setiap pelakon mempunyai gred dan kemampuan masing-masing.

“Jika begitu yang diinginkan, saya akur dan terima dengan hati terbuka. Sudah menjadi lumrah kehidupan apabila ada yang lama, suatu masa nanti akan ada yang baharu,” tuturnya yang bakal muncul dengan filem berjudul Saka Perawan pada 27 Jun depan.

Nyanyian

Meneruskan bicara, Isya yakin menjaga kualiti lakonan mampu membuatkan dirinya kekal relevan sekali gus berdaya saing dengan pelakon lain.

Bukan sahaja aktif dalam dunia lakonan, bekas peserta Akademi Fantasia musim 13 itu pernah menganggotai kumpulan duo, Hanarose bersama Eka Sharif. Namun, kumpulan terbabit dibubarkan pada 2016 setelah dua tahun ditubuhkan.

“Pada awal pembabitan, saya memang fokus kepada bidang nyanyian. Selepas itu baru saya menceburi dunia lakonan.

Dilabel ketinggalan zaman hanya kerana tidak gemar melayari media sosial, Isya tidak pernah ambil hati. – Solekan: ELMANDA ZUHAIRY @elmandazuhairy

“Biarpun aktif berlakon, saya tetap tidak melupakan minat terhadap bidang nyanyian. Sehingga ke hari ini saya masih mendapat undangan nyanyian di acara tertutup.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana setiap kali membuat persembahan, penonton akan memberikan sokongan dan reaksi positif,” jelas wanita berusia 34 tahun itu.

Dalam pada itu, Isya turut memaklumkan dia cenderung memilih kerjaya nyanyian berbanding lakonan.

“Saya akan terus berlakon selagi ada tawaran, sementara nyanyian pula akan diteruskan sehingga tua.

“Insya-Allah, jika sudah berusia nanti dan masih mampu menyanyi, saya akan teruskan kerjaya itu.

“Syukur Tuhan menganugerahkan saya bakat nyanyian dan boleh dijadikan sumber pendapatan selain lakonan,” kata pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular itu.

Dunia sendiri

Beralih kisah peribadi, Isya mengakui dirinya bukanlah individu yang gemar berkongsi apa yang dilaluinya kepada umum khususnya dalam media sosial.

Malah, dia juga tidak gemar ‘meneroka’ dunia maya apatah lagi mengambil tahu kontroversi melibatkan rakan artis.

BIDANG nyanyian menjadi pilihan utama Isya untuk dijadikan sumber pendapatan sekiranya tidak aktif sebagai pelakon. – Foto: FARIZ RUSADIO

Biarpun didakwa hidup seperti katak bawah tempurung, dia selesa dan tenang menikmati kehidupan sebegitu.

“Itu salah satu cara saya menjaga minda dan emosi. Orang mungkin kata saya ketinggalan zaman, tetapi itulah kebenaran tentang diri saya.

“Saya tidak berminat melihat kehidupan atau mengambil tahu tentang hal orang lain. Kadangkala sampai ada yang bertanya, bagaimana jadi artis kalau gosip artis pun tidak tahu?

“Jujur saya katakan, saya memang tidak ambil tahu. Masing-masing ada kehidupan sendiri dan saya percaya tidak semua yang indah dalam media sosial itu menggambarkan emosi mereka.

“Kehidupan ‘dunia tipu-tipu’ itu lebih kepada kecantikan dan populariti. Dengan mengehadkan masa penggunaan media sosial membuatkan saya lebih tenang dan santai,” jelasnya yang mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Amylea Azizan untuk memperbaiki mutu nyanyian.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN