fbpx
ANAK-ANAK tidak sah taraf berdepan pelbagai isu termasuk dipandang hina oleh masyarakat. – GAMBAR HIASAN

Anak luar nikah makin ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kes-kes membabitkan anak luar nikah semakin membarah dalam masyarakat apabila ramai ibu bapa yang terlibat tampil untuk mendapatkan khidmat peguam syarie di negeri ini untuk membuat permohonan pengesatarafan nasab ke atas anak yang tidak sah taraf.

Peguam Syarie, Noor Syaheedatul Aishah Zulkifli berkata, dia sendiri menerima lebih 3,000 pertanyaan dalam sebulan berhubung proses permohonan pengesahtarafan nasab ke atas anak luar nikah yang melibatkan pernikahan kurang enam bulan.

Katanya, situasi berlaku apabila Mahkamah Tinggi Syariah Perlis membenarkan pasangan nikah kurang daripada enam bulan untuk membuat permohonan pengesahtarafan nasab ke atas anak tidak sah taraf.

“Kebanyakan pertanyaan itu diterima daripada pasangan yang mempunyai anak di luar pernikahan dan sudah mendirikan rumah tangga.

“Memang ramai yang bertanya selepas mengetahui permohonan pengesahtarafan nasab ke atas anak tidak sah taraf melibatkan pernikahan kurang enam bulan boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah di Perlis.

NOOR SYAHEEDATUL

“Ia berikutan fatwa negeri Perlis yang membolehkan anak dilahirkan kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin dibinkan kepada suami ibunya, kecuali dinafikan oleh si suami. Fatwa negeri-negeri lain pula mensyaratkan pengesahtarafan nasab hanya boleh dilakukan ke atas anak dilahirkan enam bulan dan ke atas selepas perkahwinan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Katanya, dia setakat ini mengendalikan lebih 20 permohonan tersebut dalam tempoh sebulan.

“Ada kes yang saya kendalikan membabitkan anak tidak sah taraf yang dilahirkan sehari selepas ibu bapa kandung bernikah, malah ada juga kes melibatkan anak perempuan yang sudah berusia 22 tahun.

“Bagi pengesahtarafan anak berusia 22 tahun itu, ia dibuat pasangan suami isteri berusia lewat 40-an ketika anaknya itu mahu berkahwin,” ujarnya.

Menurutnya, bagi kes pengesahtarafan nasab bagi anak berusia 22 tahun itu, ibu bapanya mendakwa menyembunyikan status anak tidak sah taraf anak sulung mereka itu dengan memberi alasan nama bapanya sebelum itu adalah Abdullah sebelum ditukar kepada nama lain.

“Pasangan itu beritahu anak bahawa dia dibintikan dengan nama bapa berbeza berbanding adik-beradik lain kerana sebelum itu nama bapa kandung mereka adalah Abdullah sebelum diubah nama lain, kononnya kerana alasan sakit.

“Bagaimanapun, selepas anak perempuan hendak mendirikan rumah tangga, mereka buat keputusan untuk memohon pengesahtarafan nasab di Mahkamah Tinggi Syariah Perlis,” jelasnya.

Kata beliau, bagi pemohon yang tinggal di luar Perlis, mereka perlu membuat pengesahan mastautin terlebih dahulu sebelum permohonan boleh difailkan di mahkamah.

“Semasa perbicaraan, pasa­ngan perlu hadir dengan kedua-duanya perlu bersetuju dengan permohonan tersebut. Dalam prosiding itu juga, pasangan kebia­saannya perlu menyatakan bahawa mereka insaf dengan kesalahan dilakukan dan tidak akan mengulanginya lagi,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, keba­nyakan kes yang diterima melibatkan pasangan yang terlanjur ‘suka sama suka’ ketika bercinta sebelum mereka telah insaf dengan perbuatan itu seterusnya mendirikan rumah tangga.

“Rata-rata mereka mahu menasabkan nama anak kepada suami bagi melindungi aib dan menjaga kepentingan anak tersebut. Semua orang ada buat kesilapan dalam hidup dan rata-ratanya dilakukan ketika usia remaja atau muda.

“Ada kes anak-anak tidak sah taraf yang tidak bersalah ini menjadi mangsa ejekan dan pandangan buruk daripada masyarakat termasuk rakan mereka. Jadi pengesahtarafan nasab ini dapat mengelak anak menerima kesan buruk pada masa depan,” kata­nya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN