fbpx
Penduduk menunjukkan benteng yang dibina pemaju bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di Taman Chepor Impian, Ipoh kelmarin.

Bila hujan penduduk risau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Tatkala sebahagian besar orang mengharapkan hujan ketika musim panas ini, keadaan sebaliknya berlaku buat penduduk perumahan Taman Chepor Impian, di sini, yang akan gelisah apabila melihat awan mendung.

Ini kerana, banjir kilat se­ring melanda kawasan mereka jika hujan lebat berterusan dan masalah tersebut telah membelenggu penduduk di situ sejak penghujung tahun lalu.

Rata-rata penduduk mendakwa masalah tersebut dipercayai berpunca daripa­da pembinaan projek perumahan berdekatan.

Wakil penduduk, Wan Azizan Abdul Rahman, 54, berkata, dua lorong di kawasan perumahan tersebut sering mengalami banjir kilat.

Katanya, kejadian terburuk berlaku pada 30 April lalu sehingga penghuni di lorong-lorong lain turut bergegas menyelamatkan harta benda masing-masing.

“Sejak 20 tahun kami duduk di sini, ini kejadian terburuk yang pernah dialami. Dalam kejadian terbaharu itu, 16 buah rumah terjejas. Malah, banjir kali ini berserta lumpur.

“Ramai mangsa banjir me­ngalami kerugian akibat kerosakan harta ben­da. Ada kerugian yang dianggarkan mencecah sehingga RM10,000,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Dianggarkan 200 buah rumah terdapat di kawasan perumahan itu dengan penghuni di Laluan Chepor Impian 14 dan 15 lebih berisiko dilanda banjir kilat kerana berada di kawasan rendah.

Tambahnya, penduduk telah membuat aduan kepada pihak berkuasa serta pihak pemaju dan terdapat usaha bagi mengatasi nya, namun tindakan itu dilihat masih tidak cukup untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

“Apabila hujan lebat, kami akan sentiasa bersiap sedia dan berjaga-jaga,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan nege­ri, Sandrea Ng. Shy Ching ketika dihubungi pula memberitahu, pihaknya akan mendapatkan perincian me­ngenai perkara tersebut daripada Majlis Ban­daraya Ipoh.

Pada 30 April lalu, sebanyak 16 buah rumah dimasuki air lumpur dan selut. Penduduk dilaporkan men­dakwa, ini kejadian keempat dialami mereka dalam tempoh lapan bulan yang mana kebia­saannya air hanya bertakung di halaman, namun kali ini mema­suki rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN