SETIAP insan yang bercinta sudah pasti memiliki perasaan cemburu sekiranya ada orang lain rapat dengan pasangannya.
Walaupun perasaan itu perlu ada dalam perhubungan yang sihat, namun sekiranya berlebihan, mampu merosakkan perhubungan.
Disebabkan itu, Nadirah (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang kuat cemburu cuba berhati-hati dalam mempamerkan perasaan cemburu terhadap tunangnya, Imran (bukan nama sebenar).
Wanita berusia 33 tahun itu akui, perasaan cemburunya boleh dikatakan di luar kawalan kerana hatinya mudah curiga dan berprasangka buruk terhadap lelaki itu.
Menurut Nadirah, fikirannya terganggu jika dia tidak mengetahui keberadaan teman lelakinya itu biarpun untuk beberapa minit.
“Saya dihantui oleh keinginan untuk sentiasa mengetahui keberadaan dan aktiviti Imran kerana saya tak nak kehilangannya.
“Jika saya tak tahu apa yang dia lakukan dalam masa satu jam, saya boleh jadi tak senang duduk,” katanya kepada Panorama.

Sedar sekiranya tindakan berlebihannya bakal membuatkan Imran berubah hati, Nadirah sering melakukan ‘penyiasatan’ secara halus.
Wanita yang merupakan seorang pembantu pengurus bahagian teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta itu memasang sistem penentu kedudukan global (GPS) pada telefon dan kereta Imran.
Selain itu, dia juga meletakkan kamera dalam patung kecil yang kemudiannya diletakkan di atas papan pemuka kereta Imran.
Tidak berhenti di situ sahaja, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut memasang aplikasi rakaman panggilan di dalam telefon bimbit Imran serta membuka WhatsApp web tunangnya itu di komputernya.
Tutur Nadirah, setiap hari dia akan memeriksa aktiviti Imran tanpa lelaki itu sedar akan tindakannya itu.
“Tindakan saya ini sebenarnya atas dasar cinta. Saya percaya Imran, tetapi saya tidak percaya rakan-rakan penghasutnya.
“Boleh sahaja mereka meracuni fikiran Imran dan mengajaknya melakukan perkara-perkara melibatkan wanita-wanita lain.
“Inilah selalunya yang akan berakhir dengan kes kecurangan. Kawan-kawannya itu jenis yang suka bertukar pasangan,” jelasnya.
Berkongsi perkara paling teruk dilakukan akibat cemburu, Nadirah berkata, dia pernah mengugut wanita yang disyaki ‘penyondol’ secara berdepan.
Katanya, wanita tersebut kelihatan selalu mengirim WhatsApp kepada Imran bertanyakan tentang soal kerja dengan cara yang sangat menjengkelkannya.
Atas dasar marah, dia mengekori wanita itu sebelum berhadapan dengannya di ruang parkir kereta rumah wanita berkenaan.
Ujar Nadirah, wanita itu sangat terkejut melihat kehadirannya yang tidak jangka.
“Saya bagi dia amaran supaya tidak lagi ‘tergedik-gedik’ dengan Imran. Saya ugut supaya dia jauhi Imran atau dia akan terima akibatnya.
“Memandangkan tak ada saksi, tak ada sebarang kecederaan atau hanya cakap mulut, dia tak boleh nak beritahu Imran pasal tu.
“Sebab di mata Imran, saya adalah tunang yang serba memahami. Sudah tentulah, sebab saya tahu semua pergerakannya tanpa bertanya,” katanya.
Nadirah tahu perbuatannya itu salah dan agak keterlaluan tetapi dia tegaskan yang niatnya tidak jahat.
Katanya, lebih baik dia berhati-hati berbanding terlalu naif, kemudian ditipu seperti wanita dalam drama-drama Melayu.
Memetik situasi yang berlaku kepada selebriti, Bella Astillah dan Aliff Aziz, Nadirah mengakui dia lebih mengagumi Sarah Yasmine.
“Daripada kes Bella dan Aliff, kita sepatutnya tahu kalau orang nak curang tu, dia akan guna pelbagai cara.
“Daripada diperbodohkan, lebih baik kita jadi satu langkah lebih bijak untuk atasi situasi macam itu berlaku,” katanya.














