SEJAK bergelar naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), rezeki penyanyi Aisha Retno mencurah-curah.
Momentum tersebut diteruskan lagi dengan lagu Ketipak Ketipung Raya dendangan bersama Aziz Harun yang meledak sepanjang musim raya dan mendapat 6.1 juta tontonan di YouTube, selain tular sehingga ke luar negara.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipilijam, 23, sama sekali tidak menyangka, dia akhirnya ‘dipandang’ dan diberi perhatian selepas enam tahun berhempas pulas sebagai penyanyi.
Dia bahkan terkejut dengan penerimaan peminat, walhal sedutan lagu Ketipak Ketipung Raya sebenarnya sudah disiarkan pada tahun lalu menerusi aplikasi TikTok.
“Tipulah kalau saya dan pihak pengurusan tidak meletakkan harapan yang tinggi. Sebenarnya setiap lagu yang dikeluarkan mana-mana penyanyi memang diletakkan harapan dan sasarannya.

“Cuma untuk lagu Ketipak Ketipung Raya, saya tidak letakkan harapan yang terlalu tinggi sebab sedutan korusnya pernah disiarkan tahun lalu menerusi TikTok.
“Saya sangka, bila lagu dikeluarkan tahun ini orang akan lupa sebab sudah setahun. Rupa-rupanya sambutannya luar biasa sehingga ke luar negara,” kata Aisha.
Apa yang lebih membanggakan, selebriti tempatan dan Indonesia turut sama-sama menyertai cabaran tarian Ketipak Ketipung Raya dan memuat naik video tarian mereka ke laman sosial masing-masing.
Antaranya, Mira Filzah, Tiara Jacquelina, Scha Alyahya, Daiyan Trisya, Dian Sastrowardoyo dan Luna Maya.
“Saya cukup terharu apabila ramai rakan artis turut memberi sokongan dengan menyahut cabaran tarian Ketipak Ketipung Raya.
“Secara tidak langsung telah memanjangkan lagi jangka hayat populariti lagu itu,” ujarnya.

Indonesia
Aisha juga bersyukur kerana kerjanya semakin mudah dengan adanya medium media sosial.
Sebagai generasi baharu, penyanyi lagu Sutera itu mengakui, media sosial memainkan peranan penting dalam karier seninya.
“Saya harus gunakan medium media sosial sebaik mungkin dan semaksimum yang boleh untuk kerjaya seni.
“Lihatlah lagu Ketipak Ketipung Raya, impak daripada media sosial cukup tinggi. Jika tidak kerana viral, orang yang tidak dengar radio mungkin tidak tahu lagu saya,” tutur Aisha.
Bahkan lagu Ketipak Ketipung Raya telah membuka laluan mudah untuk Aisha melebarkan sayap sehingga ke Indonesia.
Paling mengujakan, Aisha akan mewakili Malaysia ke Festival Java Jazz yang menghimpunkan ramai penyanyi terkenal Indonesia dan serantau pada 24 sehingga 24 Mei ini.
Selain itu, dia juga akan cuba melebarkan sayap seni ke Seberang dengan turut mengadakan sesi promosi sepanjang berada di Jakarta.
“Alhamdulillah, saya rasa seperti pulang ke rumah, sebab separuh daripada saya berketurunan Indonesia iaitu sebelah ibu.
“Sebelum ini saya pernah viral di Indonesia dengan lagu Inggeris W.H.U.T (Wanna Hold U Tight), jadi apabila saya viral sekali lagi tetapi dengan lagu raya berirama joget ramai yang terkejut dan gembira.
“Insya-Allah, jika selepas ini ada tawaran persembahan di sana pada masa depan sudah tentu saya berbesar hati.
“Setakat ini, selain Festival Java Jazz, saya akan turut mengadakan promosi single di sana,” jelas Aisha.
Ditebak adakah laluan untuknya ke negara Seberang itu menjadi lebih mudah kerana memiliki darah Indonesia, Aisha menafikan perkara tersebut.
“Tidaklah mudah juga kerana saya ambil masa yang lama juga. Sebagai penyanyi saya hanya mahu orang terhibur dengan muzik yang didendangkan.
“Cuma diakui saya rasa lebih berkeyakinan untuk ke Indonesia kerana peminat di sana sudah mengenali saya bukan hanya menerusi satu lagu tetapi lagu-lagu lain juga,” luah Aisha.

Pertandingan
Menyambung bicara mengenai perkembangan karier seninya, Aisha bakal berentap dengan sembilan penyanyi popular tanah air menerusi program realiti terbaharu iaitu The Hardest Singing Show.
Dihambat kepadatan jadual, termasuk persiapan persembahan Festival Java Jazz, Aisha dengan rela hati menyahut cabaran menyertai program realiti terbitan Astro tersebut.
“Saya menghormati produksi, saya suka barisan peserta dan konsep program ini menyebabkan saya bersetuju menerima tawaran ini.
“Saya sedar saingannya cukup sengit sebab saya bukan berlawan dengan penyanyi solo yang hebat sahaja tetapi juga peserta berkumpulan iaitu De Fam,” kata Aisha.
Jelas Aisha, meskipun masih tidak tahu apa yang akan berlaku di atas pentas pertandingan setiap minggu, dia bersama pasukannya telah melakukan persiapan lebih awal.
“Saya bukanlah berlatih tetapi kami sudah mempersiapkan konsep yang mungkin boleh digunakan menjelang persembahan kelak.
“Sebab apa yang diberitahu, pertandingan ini tidak melihat vokal semata-mata kerana semuanya memang boleh menyanyi dengan baik.

“Tetapi program ini lebih menilai kreativiti penyanyi dalam setiap persembahan. Mungkin perlu terbang atau menari, saya sendiri tidak tahu. Doakan yang terbaik untuk saya,” tutur Aisha.
The Hardest Singing Show adalah sebuah program baharu terbitan Astro yang akan bersiaran selama 10 minggu bermula 12 Mei ini.
Selain Aisha barisan peserta yang akan berentap dalam program realiti ini ialah Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Stacy, Kaka Azraff, Putera Muhammad, Aepul Roza dan kumpulan De Fam.
Program tersebut akan dikendalikan popular, Nabil Ahmad bersama pengacara Indonesia, Rina Nose.
Sementara itu, Datuk Rossa, Edry Abd. Halim dan Zizan Razak dipilih sebagai juri tetap program yang akan bersiaran setiap Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).















