Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mana-mana penjawat awam yang tidak layak menerima kenaikan gaji lebih 13 peratus ekoran prestasi tidak baik dan pemalas memberi tamparan hebat buat seluruh kakitangan kerajaan.
Beliau dilaporkan berkata, ini adalah bertujuan memberi pengajaran kepada mereka selain memberi motivasi kepada individu itu untuk terus memajukan diri.
Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, tindakan tidak menaikkan gaji kepada pekerja bermasalah merupakan amalan yang boleh meningkatkan prestasi individu berkenaan.
“Ganjaran berasaskan prestasi tidak semestinya melibatkan kenaikan gaji semata-mata, tapi juga kenaikan pangkat, elaun tambahan, bonus, dan manfaat pekerja yang semua lapisan penjawat awam dapat merasakan keadilan pelaksanaannya.
“Tapi, oleh kerana struktur dan budaya organisasi agensi kerajaan tidak sefleksibel syarikat swasta, perubahan beransur-ansur diperlukan dari sudut cara berfikir, cara bekerja dan cara beremosi pengurus dan pekerja.
“Oleh itu, tidak memberi kenaikan gaji kepada penjawat awam bermasalah sesuai dijadikan langkah awal kepada perubahan menyeluruh yang lebih baik kepada semua pihak,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau memberitahu, penjawat awam yang malas ialah pekerja yang berupaya untuk melaksanakan tugasan, tetapi berat mahu melakukannya disebabkan usaha yang diperlukan bagi melaksanakannya.
Jelasnya, apabila wujud psikologi rasa selesa, risiko kemalasan menjadi sangat tinggi seperti hadir lambat, balik awal, waktu makan dan ‘rehat’ yang melebihi masa, ekspresi muka serta vokal yang tidak mesra pelanggan.
“Ini bergantung kepada unit atau jabatan dan bagaimana ia diuruskan setakat autonomi yang pada pengurus.
“Maksudnya, ada penjawat awam yang sebenarnya tidak malas tetapi polisi dan budaya yang mungkin menyebabkan mereka malas. Itu pun malas dalam tugasan tertentu sahaja yang tidak memberi makna dalam kehidupan mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun, menurut Dr. Alizi, agensi kerajaan perlu seimbang antara orientasi prestasi dan orientasi kesejahteraan penjawat awam seperti mana moto Hari Pekerja 2024: ‘Pekerja Kesuma Bangsa: Lonjakkan kesejahteraan pekerja, produktiviti organisasi’.
“Mengurus kesihatan mental penjawat awam adalah penting supaya mereka kekal berprestasi tinggi. Ia melibatkan pengurusan emosi pekerja, pengurusan rasa keterlibatan (engagement) pekerja, hubungan profesional, makna kehidupan dan sensasi pencapaian.
“Mengurus penyakit mental penjawat awam juga penting kerana mereka mampu berprestasi tinggi jika kerajaan memberi bantuan dari sudut rawatan ubat-ubatan, rawatan psikoterapi, kaunseling profesional, latihan pengurus dalam skil bantuan kecemasan dan kesihatan mental dan lain-lain,” katanya.
Untuk itu, bagi penulis, sudah tiba masanya kira-kira seramai 1.3 juta penjawat awam di negara ini terutama yang bermasalah melakukan anjakan demi meningkatkan prestasi dan kualiti kerja yang lebih efisien.














