TIDAK kekok berbahasa Indonesia menjadi kelebihan buat pelakon muda Amir Ahnaf untuk menembusi pasaran seberang.
Ingin meneroka arena perfileman di luar negara antara hasrat yang diidamkan pemilik nama sebenar Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin itu.
Biarpun mengakui masih bertatih mencari ruang, aktor tinggi lampai itu berani menyahut cabaran untuk belajar dari bawah termasuk mendalami bahasa Indonesia.
Belajar di jalanan
Sebagai permulaan, Amir mengambil pendekatan belajar di jalanan iaitu mengisi masa santai dengan berinteraksi dengan warga tempatan sepanjang sebulan menjalani penggambaran sebuah filem di Indonesia.
“Filem ini memang mencabar bukan hanya disebabkan alur cerita, malah saya kena ‘ngobrol’ dalam bahasa Indonesia yang tentu sahaja mustahil dapat dilakukan seperti orang lokal.
“Namun pengarah memberikan saya masa untuk belajar bercakap macam warga tempatan, jadi sepanjang tempoh itu saya banyak berbual dengan orang sekeliling termasuk pemandu Grab dan gojek.
“Hasilnya sangat membanggakan apabila pengarah serta pelakon Indonesia yang terbabit dalam filem ini melayangkan pujian,” katanya.
Cerita Amir, sepanjang penggambaran di Jakarta sekitar pertengahan tahun lalu, hanya dia dan Nora Danish merupakan pelakon dari Malaysia.
Namun babak aktres berkenaan dapat diselesaikan selama seminggu, sementelah dia perlu ada di set hampir sebulan yang memaksanya langsung tidak bercakap bahasa Melayu sepanjang tempoh itu.

Pelat berbahasa Melayu
Situasi itu sekali gus membuatkan perbendaharaan kata Indonesianya semakin bertambah dan lenggok perbualannya juga sudah seperti warga tempatan di sana.
“Banyak kebaikan apabila kita sendirian di tempat orang kerana kita dapat biasakan diri selain perlu bergaul dengan semua orang.
“Ketika penggambaran Terkutuk, awalnya memang ada Nora Danish, tetapi dia pulang lebih awal disebabkan komitmennya sudah selesai.
“Apabila saya hanya satu-satunya pelakon Malaysia di set, saya langsung tidak cakap Melayu. Itu kelebihan sebenarnya yang membolehkan saya fasih berbahasa Indonesia.
“Ketika selesai kerja dan keluar ambil angin pun orang menyangka saya asal Indonesia sebab sangat lancar. Seronok apabila misi belajar bahasa berjaya,” tambahnya.
Ujar pelakon siri High Council itu lagi, lucunya dia dikatakan pelat berbahasa Melayu hanya dalam tempoh sebulan di Indonesia.
“Usai penggambaran Terkutuk di beberapa lokasi di Indonesia saya terus terbang ke Paris bagi menyempurnakan satu projek khas.
“Lucunya, pasukan yang saya bekerja itu menegur cara percakapan saya yang disifatkan sangat pelik apabila kedengaran pelat.
“Walaupun berbahasa Melayu sepanjang berbual, mereka tegur lenggok saya yang didakwa berbunyi melucukan.
“Ambil masa juga untuk perbetulkan cara bercakap. Baru saya tahu kenapa orang yang lama di luar negara pelat sebab saya pun terkena sindrom sama biarpun sekejap sahaja di Indonesia,” ulasnya sambil tertawa.

Jawa
Menyentuh mengenai watak lakonannya sebagai Joko dalam filem berkenaan, dedah Amir peranan tersebut sekadar karakter sampingan.
Tetapi Andibachtiar Yusuf sebagai pengarah telah mengolah semula skrip, menjadikannya karakter utama.
“Saya dimaklumkan penerbit 4ward Pictures bahawa sutradaranya menyenangi wajah saya yang diumpamakan lelaki Jawa asli.
“Malah watak Joko sendiri yang mempunyai elemen misteri dirasakan ada sesuatu untuk ditonjolkan kepada khalayak.
“Apabila karakter Joko ini dikembangkan sebagai penguat kisah, saya sangat teruja. Boleh dikatakan ini tuah wajah Jawa,” ujarnya dengan nada teruja.

Buka ruang
Menurut Amir, selain Nora perasaannya juga teruja dapat bergandingan dengan pelakon Indonesia berkaliber seperti Atiqah Hasiholan, Baim Wong, Putri Ayudya dan Whani Dharmawan.
“Saya difahamkan Terkutuk akan ditayangkan selewat-lewatnya akhir tahun ini, jadi besar harapan saya filem seram ini dapat memenuhi selera penggemar filem seram Malaysia dan Indonesia.
“Pada masa sama membuka lebih banyak ruang untuk saya berkarya dengan sutradara serta rakan seperjuangan dari teman serumpun kita,” katanya menutup bicara.














