“MENGAMBIL tanggungjawab menggalas semua kesalahan dan permasalahan yang berlaku.”
Itu yang berkali-kali disuarakan Aliff Aziz selepas hampir sebulan dihenyak kontroversi berhubung isu curang, cerai dan hubungan ‘istimewa’ dengan beberapa selebriti wanita.
Menyingkap sejenak, sejak dua minggu lalu industri hiburan tanah air seperti dilanda todak dari Singapura dengan kemunculan tidak diundang kekasih gelap Aliff iaitu
Sarah Yasmine yang membawa puluhan bahan bukti kecurangan penyanyi tersebut.
Satu demi satu rahsia terbongkar sekali gus menjadi kemuncak kepada segala isu berkaitan sehingga mengheret beberapa nama selebriti lain seperti Sophia Albarakbah, Caprice, Fuad Rahman, Meerqeen, Emma Maembong dan Anna Jobling.
Pendek kata, Aliff bikin satu Malaysia kecoh dengan isu kecurangannya.

Namun, ketika ramai meraikan keberanian Sarah melondehkan aib Aliff dan Ruhainies dalam media sosial, masih ada pihak berpendapat perilaku tersebut dianggap tidak bermoral kerana memburukkan imej industri seni tempatan.
Lebih membuatkan beberapa penggiat seni berang, Sarah yang berasal dari Singapura tidak sepatutnya mencetuskan onar dalam gelanggang hiburan tempatan dengan menyebarkan perkara negatif artis tanah air.
Paling parah, penerbit dan pengarah Erma Fatima turut ‘menghalau’ Sarah menyelesaikan masalah kekecewaannya dengan Aliff di Singapura.

“Balik negara kau dan selesaikan di sana. Jangan jatuhkan maruah orang dalam negara aku dengan buat kenduri selak kain!” tegas Erma yang mengundang marah segelintir rakyat Singapura.
Bukan itu sahaja yang diminta Erma, dia juga mahu Aliff tampil membersihkan segala onar yang dilakukannya.
“Aliff, kenapa kau hilang? Kau berak sana sini kemudian hilang. Kau berak dalam negara aku pula,” katanya.
Bukan sahaja Erma, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut menyifatkan isu melibatkan Aliff sebagai perkara serius yang mengundang stigma negatif kepada pelaku industri seni termasuk artis asal Singapura.
Bahkan, mereka yang terlibat juga dinasihatkan membuat laporan polis bagi menghentikan berlaku lebih banyak pendedahan ‘gila’ daripada pihak lain.
Aliff muncul

Seperti diseru, bekas juara Gegar Vaganza 9 itu akhirnya tampil bersuara melantunkan segala emosi dan perkara yang terbuku dalam hati berkaitan semua kemelut menerusi satu temu bual di Singapura baru-baru ini.
Mengejutkan, Aliff turut mendedahkan pernah ‘tangkap’ isterinya, Bella Astillah curang pada Oktober lalu dengan pelakon baharu, Muaz Zabir, namun menganggap perkara tersebut sebagai kifarah buat dirinya.
Aliff mengakui rasa amarah yang sukar dibendung antara sebab dia membuka aib Bella sebelum ini.
“Perkara itu satu kesilapan. Saya sangat menyesal kerana di penghujungnya, Bella tetap ibu kepada anak-anak saya.
“Tetapi keadaan itu berlaku ketika saya dalam keadaan marah dan dikuasai dendam,” akuinya.

Aliff turut mengakui tidak sanggup berhadapan waima bercakap dengan isterinya kerana dihantui perasaan takut.
“Ketika ini, apabila tengok cermin, rasa sangat gagal malah takut untuk bercakap dengan Bella, tak tahu hendak memulakan bicara.
“Kalau ada perkara terakhir untuk cakap kepada isteri, terima kasih sangat untuk cinta, kasih sayang dan anak-anak yang awak berikan,” katanya dalam nada sebak.
Mengulas tentang pendedahan Sarah, Aliff tak menyangka wanita tersebut sanggup mendedahkan pelbagai perkara bersifat peribadi tentang dirinya kepada umum.
Memberi bayangan hubungannya dengan Sarah sudah bernoktah, Aliff turut mengucapkan selamat tinggal kepada wanita itu.
“Saya harap dia nikmati ‘5 minute of fame’ (populariti lima minit) ini, dapat tidur lena dan selamat tinggal,” tuturnya.
Mengakui setiap kesalahan yang dilakukan, Aliff tidak menolak untuk menerima sebarang bantuan menyelesaikan ‘krisis’ dalam dirinya.
“Pada ketika ini saya rasa perlukan bantuan.
“Saya perlukan bantuan daripada mereka yang pakar mungkin bukan sebab mental tidak stabil tetapi untuk beritahu apa yang perlu saya lakukan,” ujarnya lagi.
