PETALING JAYA – Selangor FC mengesahkan pemain sayap pasukannya, Faisal Halim telah menjadi mangsa simbah asid hari ini.
Susulan perkara itu, pihaknya juga akan bertegas dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan ‘dalang utama’ insiden membabitkan pemainnya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.
“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan Facebook.
Sehubungan itu, Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian itu.
“Saya sahkn kejadian ini manakala maklumat lanjut akan menyusul,” ujarnya ringkas.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Faisal Halim menjadi mangsa simbah asid dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, di sini.
Perkhabaran buruk ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menerusi aplikasi X hari ini.
Setakat ini, pihak media masih menunggu pengesahan dari pihak polis berikutan berita mengejutkan ini. -KOSMO! ONLINE