KLUANG – 73 Tahun penubuhan Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dipenuhi sejarah kebanggaan apabila berjaya memikul amanah dalam mempertahankan tanah air daripada anasir yang mengganggu gugat keamanan negara.
Walaupun terpaksa digantikan nyawa anggota ketika melaksanakan tugas namun semua itu tidak sedikit pun melunturkan semangat setiap anggota batalion ini malah terus komited untuk terus menggalas tanggungjawab.
Pegawai Memerintah Batalion Kelima Askar Melayu DiRaja (RAMD), Leftenan Kolonel, Mohd Shahrul Nizam Hamidon berkata, satu perbarisan gilang gemilang iaitu mengarak Panji-Panji Batalion diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 sebagai mencetus rasa bangga keseluruhan pegawai dan anggota.
“Seiring dengan kemajuan negara, walaupun tidak lagi tidak lagi berhadapan dengan musuh nyata namun pasukan ini tetap terus komited melaksanakan tugas diamanahkan,” katanya selepas tamat perbarisan mengarak Panji-Panji Batalion di Padang Kawad 5 RAMD, Kem Batu Tiga, di sini hari ini.
Seramai 17 Pegawai serta 230 anggota diketuai oleh Mejar Muhd Al-Muthanna Md Razeef dan Pegawai Panji-Panji, Leftenan Amirul Arif Tahir manakala Sarjan Mejar Rejimen (SMR) iaitu Pegawai Waran I Muhammad Amrin Shaari menjayakan perbarisan tersebut. – KOSMO! ONLINE














