fbpx

LHDN ada hak geledah syarikat culas bayar cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abu Tariq bersama tetamu ketika majlis sambutan Aidilfitri LHDN di Menara Hasil, hari ini. -Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak mengambil tindakan penggeledahan kepada mana-mana individu dan syarikat-syarikat terutama taikun besar jika dikenal pasti culas membayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya mempunyai kaedah dalam menentukan syarikat-syarikat yang culas membayar cukai berdasarkan kepada risiko-risiko yang sentiasa dikaji dan disemak daripada maklumat diterima menerusi pelbagai sumber.

Katanya, berdasarkan maklumat ini, LHDN akan membuat penilaian yang telah pun dilaksanakan setiap tahun dalam mengenal pasti kes-kes yang diaudit dan disiasat.

“Ini tindakan yang berterusan, tetapi kita akan pergiatkan lagi pada tahun ini untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang culas membayar cukai.

“Bagi kes-kes tertentu yang ada keperluan, kita guna kuasa kita untuk buat penggeledahan dan akan laksanakan seperti mana diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Kes-kes yang mempunyai risiko rendah, kita akan guna pengauditan, kes-kes lebih serius pula apabila LHDN menguatkuasakan aktiviti siasatan, maka ia akan melibatkan kemungkinan isu penggeladahan ini berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri LHDN di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan projek rintis sistem invois elektronik (e-invois), Abu Tariq berkata, sistem tersebut akan bermula sepenuhnya pada Julai tahun depan.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, pihaknya akan menyediakan segala kemudahan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya melalui penggunaan portal percuma selain memberikan kesedaran dan pendidikan.

“Portal ini semua boleh guna, tetapi untuk syarikat-syarikat besar dengan pendapatan lebih RM100 juta, ia akan bermula 1 Ogos ini.

“Syarikat besar ini mereka ada pilihan untuk membangunkan sistem mereka sendiri atau mungkin guna portal tersebut,” ujarnya.

Inisiatif e-invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin).

Sebanyak 4,000 syarikat yang memperoleh pendapatan melebihi RM100 juta setahun disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terlibat dalam pelaksanaan e-invois yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Jan 2025. Penguatkuasaan penuh sistem e-invois akan dilaksanakan pada 1 Julai 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI