fbpx

Sindiket jual lot lidi di Kedah berleluasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) pada Seminar Lot Lidi: Untung Secupak Rugi Segantang di MPSPK, Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Sindiket penjualan tanah lot lidi yang didakwa didalangi individu di mana sebahagiannya adalah golongan profesional, dikatakan terus berleluasa di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, paling ketara apabila penjualan tanah lot tersebut semakin banyak dipromosikan menerusi kain rentang di tepi jalan selain di media sosial atau aplikasi WhatsApp.

“Pelakunya bukan sahaja mereka yang bekerja sektor berkaitan pentadbiran tanah, malah melampaui pelbagai profesion.

“Ada yang bergelar ‘ustaz’ dan ‘doktor’ yang menjadi ejen jualan lot lidi ini. Fenomena ini menjadi perkara biasa berlaku pada hari ini kerana terlalu banyak saluran boleh digunakan penjual untuk sebarkan maklumat dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Lot Lidi: Untung Secupak Rugi Segantang anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri dan Institut Pengurusan dan Integriti negeri di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini hari ini.

Muhammad Sanusi turut mendedahkan bahawa ada sindiket menawarkan penjualan lot lidi pada harga serendah RM30,000 untuk satu lot, selain turut menawarkan bayaran bulanan secara ansuran.

“Walau bagaimanapun, hakikat perit yang harus ditelan adalah pembelian lot lidi itu tidak diiktiraf undang-undang. Itulah yang dikatakan untung secupak, rugi segantang.

“Kita mungkin rasakan telah memiliki tanah sendiri tetapi hakikat sebenar tidak seperti diangan-angankan. Nama sendiri tidak dapat didaftarkan dalam hak milik, alangkah ruginya,” ujarnya.

Katanya, nama pembeli tanah lot lidi tidak didaftarkan sebagai pemilik sebenar dan antara kesan paling besar adalah perbalahan atau pertikaian yang akan tercetus semasa prosedur pusaka kelak.

Sementara itu, katanya, beliau dimaklumkan bahawa Kedah merupakan antara empat negeri selain Perak, Selangor dan Johor yang banyak berlaku penjualan tanah lot lidi.

“Ia sememangnya menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat dan saya melihat ada keperluan untuk pihak berautoriti khususnya Polis Diraja Malaysia supaya turut sama membendung aktiviti penjualan lot lidi ini,” jelasnya.

Tambahnya, penjualan lot lidi melanggar tiga undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Jika ada ruang meminda perundangan sedia ada khususnya Seksyen 205(3) Kanun Tanah Negara (Akta 828), wajar untuk kita mulakan hari ini sebagai langkah pembetulan. Proses penjualan dan aktiviti kependudukan di atas lot lidi perlu dicegah sama sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI