JUADAH lazim yang dihidangkan semasa perayaan mempunyai keistimewaan tersendiri memandangkan sering dikaitkan dengan tradisi dan budaya suatu masyarakat.
Bagi umat Islam di Iraq, juadah berasaskan ikan yang dinamakan masmouta menjadi menu utama sajian di pagi Hari Raya Aidilfitri.
Menariknya, juadah tersebut dipercayai diturunkan dari satu generasi ke generasi sejak awal tamadun Mesopotamia kuno di selatan Iraq dan terus dinikmati sehingga hari ini.
Ïa pada asalnya merupakan sup ikan kering yang dimakan begitu sahaja. Begitu pun kini, sajian itu adakalanya diberi sentuhan berbeza apabila dicampur ramuan kari iaitu rempah dari India sekali gus berwarna kekuningan.
Menu istimewa itu juga penuh dengan nutrien yang baik untuk menyegarkan tubuh badan masyarakat Islam di pagi 1 Syawal selepas berpuasa selama sebulan.
Resipi ‘masmouta’ bermula dengan mengeringkan ikan selama kira-kira 10 hari sebelum dimasak sebagai sup.
Menurut seorang penduduk Basra, Iraq yang hanya dikenali sebagai Sa’adiyah, 60, dia berbangga apabila dapat mewarisi sajian tersebut daripada nenek moyangnya untuk disajikan pada hari raya.
“Saya memasak masmouta pada pagi Aidilfitri dan menghidangkannya bersama roti sahaja.
“Biarpun sudah wujud sejak sekian lamanya, sebenarnya tidak ramai yang tahu memasak juadah ini.
“Selain itu, rasa ikan kering itu juga berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain, bergantung kepada cara dimasak dan rempah ratus yang digunakan untuk mengeringkan ikan tersebut,” katanya seperti dipetik laman berita Amwaj Media.
Tambah Sa’adiyah, masmouta turut menjadi tarikan pelancong luar apabila ramai yang datang ke Basra untuk belajar memasak juadah itu.
Masmouta dikaitkan dengan warisan dan sejarah bandar-bandar di Iraq seperti Basra yang terletak di kawasan pantai teluk di selatan Iraq.
Masmouta dihasilkan dengan melumurkan garam pada permukaan ikan dan membiarkan ia kering di bawah cahaya matahari selama 10 hari.
Selepas kering, ikan-ikan tersebut tidak kira sama ada ikan laut atau ikan sungai kemudiannya dimasak dengan menambah air, bawang dan rempah ratus sebelum disajikan bersama roti.
Bahkan, perkataan masmout berasal daripada perkataan Arab ‘samat’ yang bermaksud merebus dalam air panas.
Resepi tersebut sudah wujud sejak zaman Mesopotamia yang mana masyarakat pada waktu itu mengeringkan makanan laut untuk disimpan sekiranya berlaku kebuluran.

Penduduk di selatan Iraq seperti Basra, Dhi Qar dan Maysan sudah terbiasa dengan juadah itu dan akan menyajikannya kepada tetamu yang datang ke rumah di hari raya.
Keluarga di Basra cukup teruja untuk menikmati masmouta pada acara-acara istimewa terutama Hari Raya Aidilfitri. Ia bahkan sudah menjadi tarikan atau ciri utama di Basra dengan penjual ikan kering di situ akan menggantungkan ikan mereka di kawasan pasar-pasar tempatan untuk dipilih pembeli.
Seorang penduduk, Muhammad Raed berkata, setiap kali 1 Syawal, dia biasanya akan menikmati masmouta bersama ahli keluarga.
“Sejak saya kecil, saya biasa lihat ibu bapa menjamu masmouta setiap kali hari raya,” katanya.
Menurut seorang penyelidik dari Iraq, Hussein Radhi Al-Shammari, masmouta sudah sekian lama menjadi simbolik Basra, namun mula meraih perhatian dan permintaan tinggi sejak dipopularkan di media sosial.
“Begitu pun, permintaan yang tinggi terhadap juadah itu dengan bekalan yang kurang menyebabkan tidak banyak restoran atau hotel mampu menyediakan juadah tersebut kepada pelanggan.
“Kini, masmouta hanya boleh dijumpai di rumah-rumah penduduk di Basra,” jelasnya.
Masmouta juga satu ketika dahulu cukup popular dan bersaing dengan satu lagi juadah tradisi Iraq iaitu masgouf. Masgouf merupakan satu lagi juadah berasaskan ikan iaitu ikan bawal yang digoreng bersama perencah istimewa.
Jelas Hussein, masgouf juga lebih menjadi pilihan sesetengah orang dan lazimnya lebih enak serta lebih mudah didapati.
“Ikan bawal akan dibersihkan dan dilumur dengan mentega sebelum digoreng bersama rempah istimewa dan lemon. Ia dihidang bersama nasi dan juga bawang,” katanya.
Biarpun semakin popular dalam kalangan masyarakat luar, hakikatnya, juadah masmouta yang kuno itu tidak begitu diminati oleh generasi muda.
Hamzah Jawad, 21, memberitahu ramai rakan sebayanya yang tidak begitu menggemari juadah tersebut sebagai sajian di pagi Aidilfitri.
“Mereka lebih memilih makanan segera memandangkan ia lagi mudah didapati dan tidak mengambil masa yang begitu lama untuk dihidangkan.
“Antara juadah yang lebih menjadi pilihan generasi muda adalah piza, ayam goreng dan shawarma,” terangnya.
Akui Hamzah lagi, dia sendiri belum pernah mencuba masmouta.
“Ini kerana ibu saya sendiri tidak tahu membuat juadah tersebut.
“Dalam kalangan ahli keluarga saya, hanya nenek yang pandai membuat juadah itu,” katanya.














