fbpx

Putaran peluru boleh sebabkan organ hancur, rosak teruk – Dr. Alpha Zaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Alpha Zaki menjelaskan keseriusan luka tembakan melalui sebuah video di laman TikTok.

PETALING JAYA – Seorang doktor perubatan, Dr. Alpha Zaki menerangkan kepada orang ramai agar tidak memandang rendah kerosakan yang boleh berlaku terhadap anggota badan setelah terkena tembakan.

Jelas beliau menerusi video di laman TikTok, luka pada titik kemasukan peluru mungkin nampak kecil dan bersih, tetapi sebaliknya pula berlaku pada organ dalam badan.

“Dalam satu-satu kes tembakan, selalunya pendarahan yang berlaku nampak seperti tidak serius. Luka pun nampak tidak teruk.

“Bagi pakar perubatan, sekiranya berlaku kes sebegini, pertama sekali doktor akan cari dahulu luka masuk. Kemudian kita akan cari luka keluar,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya luka keluar tidak dijumpai, itu menandakan peluru masih berada dalam badan mangsa.

“Kalau ada luka keluar, terserah kepada pihak berkuasa untuk cari di mana peluru tersebut,” katanya.

Berdasarkan pengalaman, Dr. Alpha berkata, kebanyakan mangsa kes tembakan akan mengalami luka serius disebabkan putaran peluru yang boleh memusnahkan organ dalaman.

“Memang luka masuk nampak kecil. Tetapi kita tidak boleh pandang rendah kerana luka dalaman mungkin serius. Apabila peluru masuk ke dalam badan, ia akan berputar dan merosakkan organ-organ.

“Dalam bahasa mudahnya, jika mangsa ditembak di bahagian perut, usus akan hancur dan perut akan pecah disebabkan putaran peluru. Malah, peluru yang ditembak juga berpotensi jadi panas dan menyebabkan kecederaan lebih serius,” katanya.

Jelas Dr. Aplha, beliau pernah berhadapan dengan kes tembakan sebanyak dua kali ketika beliau bertugas sebagai seorang doktor pelatih (HO).

“Dalam kes pertama, ia melibatkan jenayah narkotik. Suspek ditembak di kawasan kaki dan perut kerana melarikan diri. Polis terpaksa lepaskan tembakan.

“Untuk kes tersebut, boleh nampak luka masuk pada betis suspek memang bersih. Tetapi tulangnya semua hancur.

“Doktor terpaksa buka kawasan kaki, masukkan besi untuk luruskan dan baiki tulang serta jahit semula otot yang terkoyak,” katanya.

Bagi tembakan di kawasan perut pula, beliau menjelaskan, doktor perlu lakukan pembedahan untuk kenal pasti kerosakan yang berlaku serta untuk menghentikan pendarahan.

“Sama dengan kes sebelum ini, luka masuk nampak kecil. Tetapi bila doktor buka, usus perut semuanya hancur dan koyak teruk.

“Jadi, jangan pandang rendah luka tembakan kerana kesannya terhadap badan kita tidak boleh jangka betapa teruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI