fbpx

[VIDEO] Remaja maut, tular klip video rempuh kenderaan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan dengan pacuan empat roda polis.

MELAKA – Seorang remaja maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh kenderaan pacuan empat roda polis jenis Hilux di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.56 pagi itu, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, nahas berlaku ketika pihak polis sedang melakukan rondaan cegah lumba haram susulan menerima aduan daripada penduduk setempat.

“Anggota Balai Polis Durian Tunggal membuat rondaan selepas menerima aduan awam berkaitan individu berkumpul mengadakan aktiviti lumba motosikal dan membuat bising di lampu isyarat Gangsa.

“Setiba di lokasi lampu mata arah dan siren telah dinyalakan untuk memberitahu kehadiran polis, menyebabkan sekumpulan penunggang motosikal bertempiaran melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Jelasnya lagi, ketika kenderaan polis itu hendak membelok ke kanan dari arah Durian Tunggal ke Gangsa, tiba-tiba mangsa yang dari arah bertentangan telah merempuh bahagian hadapan Hilux berkenaan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC telah mengalami kecederaan parah di kaki serta badan dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.37 tengah malam tadi kerana kecederaan dalaman,” katanya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 40 saat berkaitan nahas itu turut tular di laman sosial memaparkan beberapa individu memarahi seorang lelaki dipercayai anggota polis terlibat kerana didakwa sengaja melanggar mangsa.

Zainol berkata, Polis Melaka akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional serta berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu dapat membantu menyalurkan maklumat.

“Mereka boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI