fbpx

KTMB tawar pemulangan tambang penuh bagi penumpang terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan penumpang ETS yang tersangkut lebih empat jam ekoran sistem talian elektrik terputus.

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang penuh bagi penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara Kamunting dan Bukit Merah yang terkandas akibat talian elektrik terputus, kelmarin.

Menurut kenyataan, KTMB berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, gangguan ini disebabkan oleh talian elektrik (alat talian atas) yang terputus luar jangka dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

“Kru tren bertugas telah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bag menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku,” katanya.

Menurut KTMB, pihaknya telah menghantar lokomotif bantuan pada hari kejadian, namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas.

“Oleh itu, pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu ole kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

“Selain itu, penumpang juga diberikan penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth.

“Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Para penumpang yang terkesan diminta untuk menghantar permohonan ke emel [email protected],” katanya.

Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium, agen Khidmat Pelanggan KTMB akan menghubungi penumpang selewat-lewatnya Jumaat, 12 April ini.

“Jika tidak, penumpang boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada [email protected].

“Selepas menerima dokumen tuntutan yang lengkap, pihak takaful akan memproses tuntutan dan membuat bayaran dalam masa yang ditetapkan,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, suasana malam raya buat penumpang perkhidmatan ETS bertukar suram apabila tersangkut lebih empat jam gara-gara tren yang mereka naiki mengalami gangguan perjalanan.

“Panas dan lapar. Nak solat dan pergi tandas, tiada air. Nak caj telefon bimbit tiada elektrik pula. Pukul 7.50 malam baru lampu dibuka semula.

“Kesian kanak-kanak dan warga emas. Masing-masing dah tak tahu nak buat apa dalam gerabak,” kata seorang penumpang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI