PETALING JAYA – Setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, golongan perantau pastinya berpusu-pusu pulang ke kampung halaman biarpun terpaksa memandu berjam-jam lamanya dan mengeluarkan belanja yang tinggi demi melihat wajah keluarga tercinta.
Bagaimanapun situasi itu terpaksa ‘dilupakan’ sesetengah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berasal dari Sabah dan Sarawak gara-gara harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi.
Seorang pelajar jurusan undang- undang dan syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Farah Hanani Norman, 23, berkata, Aidilfitri tahun ini merupakan tahun keenam dia terpaksa mengorbankan kerinduannya untuk merasai juadah hasil tangan ibunya.
“Terkilan kerana sudah enam tahun gambar keluarga menyambut Aidilfitri tidak lengkap tanpa saya. Lagi sedih apabila ada saudara-mara yang berfikiran negatif kerana saya tidak beraya bersama mereka,” katanya.
Tambah Nur Farah, disebabkan harga tiket yang tinggi musim perayaan, dia terpaksa berkorban tahun ini bagi membolehkan dirinya pulang bertemu ibu dan bapa pada cuti semester.
“Setiap kali pagi raya, ibu mesti sediakan kek lapis Sarawak, kelupis dan kuih jala, namun sejak berada di perantauan, kami hanya saling berkongsi hidangan masing-masing melalui telefon sahaja.
“Satu lagi momen yang paling dirindui saat sama-sama mencari barangan kelengkapan sehari sebelum raya, sudah pasti saya tak dapat rasainya di sini walau ada kawan-kawan,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, bagi mengubat kerinduan terhadap keluarga Nur Farah bercadang beraya bersama ibu saudaranya di Batu Pahat, Johor.

Berkongsi luahan sama, penuntut USIM berasal Sabah, Khairuddin Hafizi John Adam, 22, syawal kali ini merupakan tahun kedua dia beraya di perantauan dan suasana kali ini lebih terasa apabila berjauhan dengan ibu .
“Sebenarnya rasa berat juga lebih-lebih lagi apabila ada yang berkata tidak kasihan ke pada ummi (ibu) yang tinggal seorang diri selepas ayah meninggal dunia. Kalau ada rezeki tahun depan memang saya akan balik ke Kota Marudu.
“Walaupun dapat one off RM600 seorang namun ia masih belum cukup untuk menampung tambang pergi dan balik memandangkan harga tiket penerbangan akan bertambah dua kali ganda terutamanya ketika musim perayaan,” ujarnya.
Turut sama berkongsi, seorang pelajar dari Ranau, Faqeehah Nur Syahirah Ardiansyah, 20, yang memberitahu, setiap kali Syawal, dia pasti terkenangkan hidangan buras bersama ayam likku’ yang menjadi juadah utama di pagi raya.
“Tahun ini tahun pertama saya sebagai seorang perantau, nampaknya tahun ini tiada buras dan ayam likku’ untuk hidangan raya memandangkan saya berada di Semenanjung.
“Sedih, sejujurnya, kalau boleh, kami nak balik sebab bak kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
“Makanan, suasana dan sambutan dekat kampung sendiri tu sangat berbeza kalau nak dibanding duduk dekat perantauan tempat orang,” ujarnya.














