fbpx

PPMKLS santuni golongan asnaf agih bakul raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada penerima sumbangan bergambar bersama wakil daripada MAIWP, PPMKLS dan juga persatuan penduduk di dewan orang ramai PPR Sentul Murni, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Beberapa wanita tersenyum manis membawa beg berisi barangan keperluan yang dikenali sebagai ‘bakul raya’ keluar daripada sebuah dewan orang ramai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni di sini baru-baru ini.

Serba sedikit beg yang berisi bahan mentah untuk keperluan menyambut hari raya seperti ayam segar dua ekor, daging, nasi impit dan kuah kacang segera dan juga lemang dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka.

Kumpulan wanita tersebut adalah sebahagian daripada 20 asnaf yang yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif Pertubuhan Prihatin dan Muhibbah Kuala Lumpur dan Selangor (PPMKLS) di PPR Sentul Murni.

Mereka juga adalah sebahagian daripada 180 penerima sumbangan inisiatif pertubuhan tersebut yang membantu golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal dan kumpulan B40 sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Pertubuhan tersebut adalah rakan strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang aktif menjalankan kerja-kerja amal untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pengerusi PPMKLS, Shaari Ismail berkata, program tersebut memfokuskan kepada penduduk PPR di enam kawasan Parlimen dan antaranya adalah Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Seputeh dan Batu.

“Ini adalah aktiviti tahunan yang di adakan dan kami mahu membantu golongan yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut agar mereka juga dapat menyambut Aidil Fitri dengan hati yang tenang setelah mendapat manfaat daripada ‘bakul raya’ yang kami agihkan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Penduduk dan Keselamatan Rukun Tetangga Sentul Murni, Zaini Abdullah mengucap syukur dan berterima kasih atas keprihatinan pertubuhan tersebut atas sumbangan yang dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan penduduk terkesan di kawasan perumahan tersebut.

“Ada dalam kalangan penerima di PPR ini tidak sihat dan sukar berjalan keluar memberi barangan keperluan hari raya, jadi dengan bakul raya ini akan dapat memudahkan mereka menyediakan juadah untuk dimakan bersama keluarga.

“Diharapkan agar pertubuhan ini akan terus aktif membantu golongan sasar dan diteruskan juga untuk tahun depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI