fbpx

7 suspek termasuk 5 polis ditahan kes samun RM260,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tujuh suspek termasuk lima anggota polis ditahan berhubung kes samun jam tangan dan wang tunai kira-kira RM260,000 dan menyamar polis terhadap mangsa lelaki warga asing di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, tangkapan pertama dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju melibatkan tiga suspek lelaki pada pukul 11.50 malam, kelmarin.

“Hasil tangkapan pertama membawa kepada tangkapan susulan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun dan menyamar polis.

“Dalam siasatan kes ini, seramai lima anggota polis, seorang bekas anggota polis dan seorang orang awam berusia antara 28 hingga 41 tahun dipercayai terlibat dalam kes yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lima suspek direman empat hari bermula semalam hingga 11 April, manakala dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 12 April.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Rusdi menegaskan, kes tersebut masih dalam siasatan dan polis tidak melindungi individu termasuk pegawainya sendiri yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang.

Katanya, orang awam juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Sementara itu, beliau berkata, mangsa dalam kejadian tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI