fbpx

Mydigital NCR atasi isu sijil kahwin hilang di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adibah menunjukkan Mydigital NCR iaitu sistem penyimpanan rekod perkahwinan di Perak secara digital di Ipoh semalam.

IPOH – Usaha pendigitalan urus tadbir negeri Perak diteruskan lagi menerusi langkah proaktif oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk memperkenalkan sistem penyimpanan rekod perkahwinan di negeri itu secara digital.

Sistem yang sedang diba­ngunkan itu dinamakan sebagai Mydigital NCR, dengan singkatan NCR merujuk kepada nikah, cerai dan rujuk.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPk, Adibah Muhamad Rivai berkata, harapan pengenalan Mydigital NCR adalah untuk menyimpan semua rekod NCR sebagai pelengkap kepada rekod yang disimpan secara fizikal.

Jelasnya, tindakan itu dibuat dengan mengambil kira rekod perkahwinan yang bertambah saban tahun, selain sebagai langkah keselamatan kerana bentuk fizikal berisiko terdedah kepada kerosakan.

“Ketika ini secara berfasa, kami sedang mengimbas dan menyimpan setiap rekod perkahwinan yang ada di setiap daerah.

“Usaha ini akan memakan masa memandangkan rekod fizikal yang banyak. Namun apabila siap nanti, ia akan memudahkan ramai pihak untuk mendapatkan semula salinan rekod atau sijil perkahwinan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelas Adibah, pelaksanaan projek itu dijangka menyelamatkan dokumen berkaitan sijil nikah dan cerai lama yang wujud sebelum zaman kemerdekaan lagi.

Beliau menganggarkan terdapat 500,000 hingga 700,000 helai dokumen rekod perkahwinan yang akan disimpan dalam Mydigital NCR dan menjangkakan usaha itu yang bermula pertengahan 2023 mampu dise­lesaikan dua hingga tiga tahun.

Menurutnya, rekod NCR sa­ngat penting dan pembuktian perkahwinan melalui sijil yang sah amat diperlukan dalam pelbagai urusan pada masa ini.

Katanya, usaha itu sendiri mendapat sokongan penuh daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang komited memodenkan urus tadbir negeri.

Langkah itu juga selari de­ngan satu daripada enam agenda dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu yang ke-3, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI