BRUSSELS – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyambut ulang tahun ke-75 hari ini dengan pakatan ketenteraan berkenaan berdepan keperluan mendesak untuk melakukan lebih banyak lagi bagi membantu Ukraine memenangi perang melawan Russia.
Barisan menteri luar dari 32 negara NATO akan mengadakan majlis sambutan di ibu pejabatnya di Brussels untuk meraikan organisasi tersebut yang dianggap ‘pakatan paling berkuasa dan berjaya dalam sejarah’.
Di sebalik pencapaiannya, NATO kini bergelut dengan cabaran paling serius sejak penubuhannya pada 1949 bagi mencabar Kesatuan Soviet.
“Ketika kami meraikan pencapaian NATO, kami tidak boleh mendabik dada.
“Eropah kini berdepan peperangan pada skala yang kami serahkan kepada sejarah,” kata ketua perikatan tersebut, Jens Stoltenberg semalam.
Sejak Russia melancarkan pencerobohan habis-habisan ke atas Ukraine dua tahun lalu, NATO telah menambah Finland dan Sweden ke dalam pakatan tersebut serta menguatkan pasukan tenteranya di Eropah Timur.
Negara-negara anggota NATO berdiri teguh bersama Ukraine dengan menghantar senjata bernilai berpuluh-puluh bilion dolar bagi membantu Kiev.
Namun, bekalan senjata kini berkurangan selepas sokongan daripada Amerika Syarikat terbantut oleh perbalahan politik domestik.
Stoltenberg, sementara itu mencadangkan bantuan lima tahun berjumlah €100 bilion euro (RM514 bilion) dalam usaha memastikan sokongan jangka panjang untuk Ukraine. – AFP