fbpx

Inisiatif Gelombang Padi tingkatkan pengeluaran padi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arthur - Foto JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal memperkenalkan langkah intervensi bagi memastikan bekalan beras putih tempatan dapat ditingkatkan serta mudah diakses oleh rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuklah Inisiatif Gelombang Padi.

Jelasnya, ketika ini pengeluaran padi negara adalah sekitar 2.28 juta tan metrik dan jumlah tersebut tidak mencukupi dalam memenuhi permintaan domestik.

“Justeru, sebanyak 12 program akan digerakkan pada tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan,” katanya di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah segera kerajaan dalam menangani isu jaminan kapasiti bekalan beras putih tempatan dan sejauh mana pengeluaran padi tempatan dapat memenuhi keperluan pengguna tempatan menjelang 2025.

Dalam pada itu, Arthur berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga telah menggariskan langkah segera untuk memastikan kecukupan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

“Kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga telah bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya beras putih import agar bekalan tambahan beras putih tempatan sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada bulan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI