fbpx

PTP meterai perjanjian beli lima kren dermaga bersaiz mega daripada ZPMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mark Hardiman (dua dari kiri) bersama Celilia Shen (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian antara dua syarikat di PTP baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) telah memeterai perjanjian untuk membeli lima kren dermaga bersaiz mega dari Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd (ZPMC).

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama syarikat dengan ZPMC atas faktor reputasi kukuh syarikat tersebut dan kepakaran mereka dalam pembinaan jentera-jentera pelabuhan.

Menurut beliau, perolehan jentera tersebut adalah satu langkah strategik yang penting dalam usaha mempertingkatkan keupayaan operasi terminal dan komitmen berterusan PTP dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan pihak berkepentingannya.

“Pelaburan terkini PTP terhadap jentera-jentera baharu ini juga membuktikan dedikasi kami terhadap usaha mengendalikan peningkatan jumlah kargo kontena di terminal pelabuhan, sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan PTP dalam dinamik perdagangan serantau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Perjanjian tersebut telah  dimeterai dan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Naib Presiden ZPMC, Celilia Shen dalam sebuah majlis di PTP baru-baru ini.

ZPMC adalah pengeluar jentera dan struktur keluli besar yang terbesar di dunia.

Selain itu, Hardiman menerangkan, pembelian jentera tersebut merupakan sebahagian daripada strategi komprehensif pemodenan keupayaan terminal dan kapasiti jentera di PTP.

“Perolehan lima kren dermaga bersaiz mega ini turut melambangkan pengembangan kapasiti yang sealiran dengan usaha-usaha naik taraf jentera dan infrastruktur yang ketara di PTP. 

“Jentera berteknologi tinggi ini akan membantu PTP dalam meningkatkan kecekapan terminal dan aktiviti lain berkaitan pelabuhan, terutamanya dalam usaha menguruskan peningkatan jumlah kargo kontena dengan berkesan dan memudahkan perdagangan serantau yang pantas dan lancar sambil mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

“Selain itu, perolehan terbaharu ini juga sejajar dengan komitmen kami dalam usaha pemerkasaan agenda kelestarian PTP yang fokus dalam mematuhi garis panduan dan piawaian pematuhan yang telah ditetapkan dalam Perjanjian Paris,” jelasnya.

Sementara itu,  Shen turut menyampaikan penghargaan ZPMC atas kepercayaan PTP. 

Beliau mengesahkan bahawa pihak ZPMC komited dalam memastikan penghantaran jentera-jentera yang ditempah tepat pada masanya dan beliau turut berkongsi matlamat syarikat ZPMC dalam memberikan perkhidmatan dan solusi inovatif yang melibatkan jentera-jentera terminal pelabuhan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI