fbpx

Peruntukan BSH kumpulan veteran ATM meningkat RM174 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled beramah mesra dengan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa Kemeneterian Pertahanan bersama Media, di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan peruntukan Bantuan Sara Hidup (BSH) meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM174 juta sekali gus memanfaatkan 50,000 penerima kumpulan veteran.

Berbanding tahun 2021 dan 2022, BSH yang disalurkan adalah berjumlah RM58.6 juta dengan bayaran sebanyak RM300 seorang kepada 16,582 penerima.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan turut mengambil inisiatif baharu bagi melebarkan kumpulan sasar dengan turut memasukkan penerima dalam kalangan veteran tidak berpencen yang berusia 60 tahun ke atas.

Ujarnya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada agenda kementerian untuk memfokuskan kepada kebajikan anggota pertahanan.

“Hari ini juga kementerian melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menyampaikan Bantuan Kebajikan Anak Kurang Upaya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Di bawah program ini, Yayasan LTAT memperuntukkan jumlah sumbangan sebanyak RM300 ribu akan diberikan kepada anak-anak kategori orang kurang upaya (OKU).

“Penerima adalah dalam kalangan warga ATM yang masih bersekolah atau tidak bersekolah dengan sumbangan sebanyak RM500 akan diberikan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, anak syarikat di bawah Mindef, Pharmaniaga Berhad juga menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar-pelajar sekolah tahfiz dan anak yatim ATM berjumlah RM22,500.

Mindef turut melancarkan program Pharmagrad dengan kerjasama Pharmaniaga berbentuk latihan industri yang dikhususkan kepada anak-anak anggota dan veteran ATM.

Mohamed Khaled berkata, bermula tahun hadapan, sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad menerusi Pharmagrad.

“Selain itu Professional Training and Education for Growing Enterprenuers – Ready To Work atau PROTEGE – RTW dengan kerjasama BHPetrol.

“Harapan kita, melalui rangkaian program ini, agenda kebajikan ATM dan keluarga bukan sahaja akan diperkemas.

“Namun, dipelbagaikan dengan pendekatan-pendekatan yang lebih inovatif dan bersesuaian dengan kumpulan sasar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI