fbpx

‘Jalin hubungan dengan Muaz demi buat Aliff cemburu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA mengakui pernah menjalin hubungan dengan pelakon baharu, Muaz Zabir demi membuatkan suaminya, Aliff Aziz cemburu.

SHAH ALAM – Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengaku pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon baharu, Muaz Zabir hanya untuk membuat suaminya, Aliff Aziz cemburu.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabillah Awang Astillah, 30, berharap tindakan itu akan membuat Aliff cemburu memandangkan ketika itu dia sedang curang bersama dua wanita lain.

“Sebenarnya sejak semalam saya mengetahui perkara ini dari rakan-rakan terdekat. Saya faham perkara ini juga berlaku secara mendadak dan semua pun terkejut.

“Tetapi netizen boleh fikir mengapa perkara ini hanya berlaku sekarang sedangkan esok adalah sebutan kes perceraian saya?

“Sebenarnya kes ini telah terjadi tahun lepas. Waktu itu niat saya adalah untuk buat suami cemburu. Saya percaya rakan-rakan saya kenal dan tahu bagaimana saya sayang Aliff.

“Jadi, bila saya menggunakan seseorang untuk buat suami saya cemburu, kerana pada ketika itu dia curang bersama dua wanita yang lain.

“Saya harap dengan cara tersebut dia akan beri perhatian kepada saya. Dalam masa sama, saya buat kesilapan,” katanya.

Mengakui tindakannya salah, Bella bagaimanapun memberitahu isu tersebut telah pun diselesaikan bersama Aliff dan keluarganya sebelum ini.

“Budak lelaki ini (Muaz) baik. Bila saya rasa tidak dihargai dan rasa seperti sampah, datang pula seseorang yang memberi perhatian.

“Saya akui saya manusia biasa dan ini adalah kesilapan saya yang pertama selama 10 tahun bersama dengan Aliff.

“Kami sudah berbaik dan berdamai dengan seluruh keluarga termasuk dengan keluarga di Singapura. Kami sudah bermaafan dan bercuti ke Pulau Pinang, jadi tiada masalah apa-apa,” katanya.

Sejak kejadian itu, Bella mengakui Aliff berubah dan memberi perhatian kepadanya. Perubahan positif Aliff bagaimanapun tidak lama apabila dia kembali berubah sejak menjayakan penggambaran bersama Ruhainies.

“Bila dia mula penggambaran dengan Ruhainies, dia sudah tukar password (telefon). Mungkin mereka nak menutup kes khalwat tetapi tiada sebarang ‘senjata’, jadi mereka gunakan kes saya.

“Aliff tidak sedarkah Ruhainies hanya menggunakan dia? Sedangkan Aliff tahu apa yang saya ada mengenai dia (bukti kecurangan). Hanya Aliff yang ada gambar saya dan Muaz.

“Orang marah dan cakap saya perempuan bodoh. Tapi orang tidak tahu bagaimana saya sayangkan rumah tangga kerana saya mahu anak-anak ada ibu bapa yang lengkap, jadi saya berkorban,” ujarnya.

Terdahulu, tular di platform TikTok sebuah akaun mendedahkan perbualan dan gambar mesra Bella Astillah yang dikatakan bercinta dengan pelakon muda, Muaz Zabir.

Pada 9 Mac lalu, Aliff dan aktres Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Rentetan kes khalwat itu, Bella telah memfaikan perceraian terhadap Aliff secara ekspres pada 13 Mac lalu dan esok kes akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI