fbpx

PM lancar BRR Peringkat Negeri Perak 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) ketika hadir ke sesi walkabout di Bazar Ramadan Taman Perpaduan di Ulu Kinta, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Perak 2024, di sini.

Ia merupakan antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat itu adalah melalui penyediaan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

Beliau berkata, ia termasuk menggalakkan para peniaga menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk seimbang berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung.

“Bagi penganjuran peringat negeri Perak, sebanyak empat lokasi tumpuan orang ramai telah dipilih sebagai BRR pada tahun ini iaitu BRR Taman Cempaka di Ipoh, BRR Taman Perpaduan di Tambun, BRR Taman Silibin di Ipoh dan BRR Stadium Majlis Perbandaran Manjung,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar melakukan sesi walkabout di Bazar Ramadan Taman Perpaduan selama kira-kira 20 minit.

Pada masa sama, bersempena Ramadan juga, menurut Kamalludin, KPDN telah melaksanakan Ops Pantau bermula 12 Mac lalu, yang mana sehingga kini di Perak, penguat kuasa KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,154 premis sejak 12 sehingga 23 Mac lalu.

“Tiada aduan diterima oleh KPDN Perak berkaitan isu harga di bazar Ramadan, bagaimanapun sebanyak 14 tindakan kes telah diambil sepanjang Ops Pantau 2024 dilaksanakan yang kebanyakannya adalah kes di bawah Akta Kawalan Harga & Anti-Pencatutan 2011,” katanya.

Pada masa sama, turut berlangsung di Bazar Ramadan Taman Perpaduan tersebut ialah Majlis Pelancaran MySaveFood Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh Anwar.

“Projek Malaysia Save Food Ramadan 2024 atau dikenali sebagai MySaveFood adalah untuk membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan mulia ini.

“Inisiatif ini turut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang 2030 dan mewujudkan Zero Hunger,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI