fbpx

Neelofa dicop tiada empati angkara seorang ‘caller’ radio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Neelofa menerima kecaman netizen gara-gara panggilan seorang pendengar radio yang meluahkan perasaan tentang kehidupannya.

PETALING JAYA – Ditegur tiada empati, pandangan usahawan selebriti Neelofa terhadap luahan kesedihan seorang pemanggil ditinggal ibu kandung ketika kecil dalam segmen 3 Pagi Era meraih komen negatif daripada netizen.

Rata-rata netizen beranggapan bekas pengacara program Meletop itu tidak wajar meletakkan diri seperti kaunselor bertauliah apabila meminta wanita yang menghubungi stesen radio tersebut memaafkan ibunya.

“Sebagai hamba Allah, walau macam mana pun hubungan dengan ibu tak boleh diputuskan, walau seteruk atau sekeji mana pun dia.

“Kesalahan dia memang susah untuk kita lupakan, tapi maafkan itu mungkin, maksudnya dengan usaha dan kesusahan untuk memaafkan akan ada kebaikan Allah akan berikan nanti,” ulasnya dalam video dikongsikan stesen radio terbabit.

Dalam klip berdurasi lebih tiga minit itu, Neelofa selaku artis jemputan dilihat berada di dalam konti radio bersama Nabil Ahmad, Azad serta Radin.

Pada segmen terbabit, pemanggil berkongsi keperitan apabila memikul tanggungjawab membesarkan dua adiknya selepas ibu meninggalkan mereka untuk berkahwin dengan lelaki lain.

Trauma berdepan pengalaman mencabar ketika usia 13 tahun itu mengakibatkan pemanggil masih menyimpan perasaan marah terhadap ibu yang cuba kembali dalam hidup mereka ketika adiknya di sekolah menengah.

Namun respons pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, terhadap pengalaman dilalui individu bernama Laila itu dikatakan menunjukkannya kurang peka.

Segelintir pendengar juga berharap Neelofa sepatutnya menenangkan pemanggil atau menyuntik semangat dulu sebelum terus ‘terjun’ ke agenda mendesak memaafkan si ibu.

Bahkan, tindakan Nabil yang terus menyebut pemanggil dikhuatiri boleh menyesal jika tidak sempat memaafkan insan melahirkannya turut mengandakan perasan kurang puas hati netizen.

Mereka beranggapan kedua-duanya seolah-olah mengenepikan perasaan pemanggil yang masih dihantui trauma bersendirian untuk menjaga adik-adiknya pada usia muda sebaik ayah mereka pula meninggal dunia.

“Tidak boleh macam ini. Dia dah cerita panjang lebar, bagi tahu betapa sakitnya dia tak boleh memaafkan, lepas itu nasihat berpihak pada mak dia pula,” kata netizen.

“Jangan terus buat andaian, kita tiada di tempat dia, macam tak setara komen dengan trauma dilalui sejak umur 13 tahun,” ujar seorang pemilik akaun lain.

“Saya cadangkan DJ ambil kursus mediasi atau kaunseling supaya apabila ada isu begini boleh bagi nasihat bersesuaian, mudah ya suruh maafkan. Kena ‘reverse psychology’ untuk isu macam ini,” ulas pengikut laman sosial.

Begitupun, masih ramai dalam kalangan pendengar radio berkenaan menyokong pandangan Neelofa dan Nabil agar pemanggil memaafkan ibunya tidak kira seburuk mana pengalaman dilalui. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI