fbpx

Kompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JAS melihat kawasan pembakaran terbuka di Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun RM2,000 bagi setiap longgokan terhadap mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kering ini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya akan mula bertindak lebih tegas berbanding nasihat dan memberi risalah sekiranya membabitkan kawasan kampung sebelum ini.

“Sekiranya kebakaran didapati merebak ke kawasan lebih besar, kami akan mengesyorkan untuk membuka kertas siasatan dengan denda maksimum RM500,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, JAS negeri menerima 117 aduan pembakaran terbuka yang kebanyakannya berlaku di kawasan kediaman seperti taman perumahan, kampung dan komersial dari 1 Januari hingga kelmarin.

Sementara itu, katanya, JAS bekerjasama dengan ASEAN Specialised Meterological Centre (ASMC) yang membekalkan maklumat titik panas setiap hari.

“Titik panas merupakan lokasi berlakunya pembakaran terbuka berintensiti tinggi yang dikesan oleh satelit. Kewujudannya disebabkan pembakaran terbuka boleh memberi kesan negatif kepada udara dan seterusnya meningkatkan nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokasi kebakaran,” ujarnya.

Tambahnya, mengikut perundangan, pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh disabitkan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI