fbpx

Kos RM129 juta untuk program ramalan, amaran banjir tidak berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 adalah tidak berbaloi.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia disebabkan ketepatan aras air dan ramalan banjir dikenali sebagai HIT tidak 100 peratus tepat.

“PAC juga mendapati PAC walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan pemasangan sistem PRAB telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir,” katanya hari ini.

Untuk rekod, program terbabit dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang kini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

PAC membentangkan laporan tersebut selepas mengadakan prosiding dengan Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo A/L Kim, Ketua Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia. Dr. Fariza Yunus.

Berdasarkan prosiding itu, PAC merumuskan terdapat kelemahan dalam pengurusan projek menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari, manakala di Lembangan Sungai Pahang pula sebanyak 1,836 hari.

Kata Mas Ermieyati, kelemahan kontrak PRAB yang tidak memasukkan klausa ‘kenaan denda’ juga mengakibatkan penyenggaraan pencegahan tidak dilaksanakan.

“Walaupun PRAB Fasa 1 menelan belanja RM129 juta, ia masih tidak efektif daripada segi hebahan amaran banjir kepada masyarakat memandangkan medium digunakan tidak selaras dengan peredaran masa yang memerlukan penyaluran maklumat lebih pantas.

“Pencapaian ketepatan ramalan amaran banjir yang rendah iaitu 5.6 peratus adalah tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki di dalam PRAB,” jelasnya.

Tambahnya, penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke gateway yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

“Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta turut meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA),” ujarnya.

Sehubungan itu, PAC mengesyorkan PETRA dan JPS perlu memastikan baki 79 stesen daripada 118 stesen melaksanakan penukaran Remote Terminal Unit (RTU) dengan kadar segera bagi memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

“PETRA dan JPS perlu memastikan PRAB Fasa 2 dan 3 yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan.

“JPS perlu memastikan penyenggaraan pencegahan dilaksanakan mengikut jadual dan kontraktor dipilih layak serta kompeten untuk melaksanakan penyenggaraan PRAB selain memastikan segala peralatan di stesen dilindungi dengan sewajarnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI