fbpx

Peneroka Felda terima bantuan khas bersasar RM300, disalur sebelum Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Sungkai, Tanjung Malim hari ini. - Foto AINSAFRE BIDIN

TANJUNG MALIM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Beliau berkata, bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

“Peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001-RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Sungkai di sini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata, pihak kementerian telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke pekan Trolak, Muallim pada tahun lalu dengan kos RM35 juta.

“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat rekabentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024.

“Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3 kilometer (km) dengan spesifikasi JKR R1. Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja,” katanya.

Tambah beliau, bagi memberi peluang kepada generasi keenpat dan kelima Felda, Majlis TVET Negara diarahkan untuk menyelaraskan program Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

“Ini termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMARA, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.

“TVET Generik merangkumi skop kursus seperti eknologi Mekanisasi Ladang, bidang pertanian dan penternakan, teknologi kimpalan dan pendawaian, manakala TVET Aras Tinggi seperti Teknologi Aeroangkasa, Digital, Rel, EV (kenderaan elektrik) dan Mikroelektronik (Chip Design),” katanya.

Menurutnya, pada tahun lalu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerima 29 anak Felda iaitu 13 ijazah dan 16 diploma).

“Saya ingin menawarkan untuk lebih ramai anak-anak Felda, khususnya generasi keempat dan kelima untuk menyertai UniKL bagi menyertai industri termaju termasuk Telekomunikasi, Tenaga boleh diperbaharui, Kecerdasan Buatan, Industri Aeroangkasa, Marin dan Rel.

“Saya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak Felda untuk menyambung pengajian di UniKL khususnya kursus TVET pada sesi pengambilan akan datang. Insya-Allah Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI