fbpx

Stoking kalimah Allah: Polis akan panggil pengurusan KK Mart, saksi lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (GAMBAR KECIL) memaklumkan pihaknya akan memanggil pengurusan KK Mart serta saksi lain bagi membantu siasatan kes stoking tertera kalimah Allah.

PETALING JAYA – Polis akan memanggil beberapa pihak terdiri daripada pihak KK Mart serta saksi penting bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini.

“Siasatan sedang dijalankan, kita semua akan panggil saksi-saksi berkaitan dengan kes ini.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan akan meneruskan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan tersebut diambil menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

Tambah beliau, pihak polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan apakah tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin mengingatkan pihaknya tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja.

Tegas beliau, perkara ini sering kali diingatkan pihaknya agar bersama menjaga sensitiviti semua pihak.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap masa memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya

Beliau berkata, masyarakat digesa salurkan maklumat dengan membuat laporan polis agar tindakan dan siasatan dapat diambil.

“Polis memandang serius isu 3R ini dan kita mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit terbabit.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI