fbpx

Mediasi saman McDonald’s, BDS capai tahap positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Reza ketika sidang akhbar di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Proses lanjutan mediasi melibatkan kes saman McDonald’s Malaysia terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia berhubung isu pemboikotan restoran makanan segera itu ditetapkan 30 April depan di mahkamah di sini.

Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Datuk M. Reza Hassan selepas prosiding mediasi pertama yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 9.30 pagi di kamar mediasi mahkamah di sini.

Kata M. Reza, perbincangan antara kedua-dua pihak adalah positif dan berjalan lancar di hadapan Hakim Mediasi Zaman Mohd. Noor.

“Alhamdullillah, ia sangat positif, hanya dalam satu atau dua perkara sahaja. (Mediasi) telah capai satu tahap yang baik dengan lanjutan perbincangan mediasi adalah 30 April depan.

“Ini bagi memberi peluang kepada pihak-pihak untuk menilai dan menyelesaikan secara aman,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Kira-kira seramai 30 penyokong BDS Malaysia berhimpun sejak pukul 8 pagi di pekarangan luar tersebut dengan membawa plakad dan bungkusan seakan jenazah bayi.

M. Reza bagaimanapun menegaskan, semua pihak tidak dibenarkan mendedahkan maklumat secara terperinci berhubung proses mediasi itu.

“Saya tidak boleh bincang lebih lanjut terma-terma atau perkara yang telah diperbincangkan di mediasi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, pihaknya berterusan menyatakan sokongan kepada BDS Malaysia termasuk gerakan aktivis dan aktivitinya.

“Kami terus menyokong semua tindakan boikot terhadap perniagaan dan syarikat yang memberi sokongan kepada Israel.

“(Kami) percaya kes ini (saman) untuk melemahkan aktivis dan berharap mahkamah dan proses mediasi akan berjaya mencapai serta tidak memberi sebarang ruang kepada syarikat sedemikian untuk melemahkan aktivis,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd) memfailkan saman sivil terhadap terhadap BDS Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingannya.

McDonald’s Malaysia dalam kenyataannya, menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.

Syarikat tersebut turut menyumbangkan RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI