fbpx

Nama Guan Eng timbul selepas lebih setahun – Zarul Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang diberitahu, nama Lim Guan Eng timbul kali pertama selepas lebih setahun ahli perniagaan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zarul Ahmad, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya didedahkan kepada SPRM ketika beliau disiasat pada 9 Disember 2019 berhubung kes rasuah melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Beliau ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 (SP23) itu, nama Guan Eng sebaliknya tidak dinyatakan ketika beliau memberi keterangan pada 19 dan 20 Januari, 9 Mac serta 5 September 2018 dalam siasatan kes Gnanaraja.

Dalam keempat-empat sesi siasatan itu, saksi utama pendakwaan tersebut menyatakan wang RM19 juta diserahkan kepada ahli peniagaan. G. Gnanaraja untuk diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sewaktu disoal oleh peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Guan Eng, saksi berkata, nama Pengerusi DAP itu disebut pada 9 Disember 2019 selepas membaca pernyataan saksi milik `Ibrahim’ (Ibrahim Sahari ketika itu pengarah CZCSB) dalam satu kes berlainan di Shah Alam.

Zarul Ahmad memberi keterangan sewaktu prosiding mencabar kredibilitinya sebagai saksi dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang terhadap Guan Eng yang bernilai RM6.3 bilion.

Mahkamah akan menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataannya ketika siasatan kes Gnanaraja di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 1, 2 dan 4 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI