fbpx

CIMB pacu Sivasangari ke LA 2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVASANGARI (kiri) mendapat tonik terbaik bagi memburu pingat emas LA 2028 selepas menerima tajaan daripada CIMB.

BINTANG skuasy wanita negara, S. Sivasangari meraih tonik terbaik untuk memburu pingat emas menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 selepas dia menerima tajaan daripada CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) semalam.

Tajaan itu secara tidak langsung meletakkan namanya sebaris atlet ternama lain seperti ja­guh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan bekas ratu skuasy, Datuk Nicol David yang ditaja bank berkenaan.

Sivasangari mengakui gembira dengan kerjasama tersebut dan berharap dia mampu mencipta lebih banyak kejayaan dalam kariernya, terutama memburu emas di Sukan Olimpik.

“Saya berterima kasih kepada CIMB berhubung kerjasama ini dan saya harap dapat mencapai lebih banyak kejayaan, teru­­tamanya meraih pingat emas pada Sukan Olimpik.

“Perancangan saya pada musim ini ialah untuk memperbaiki ranking dan menembusi kelompok 10 terbaik dunia. Tahun lalu, saya berjaya mendaki kedudukan 15 teratas ranking Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

“Jadi, saya perlu melakukan aksi terbaik dalam empat atau lima kejohanan yang akan ber­akhir Jun nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis kerjasama CIMB dengan Sivasangari di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya mengharap­kan kerjasama itu dapat melon­jakkan semangat Sivasangari menuju ke LA 2028.

“Kerjasama kami dengan Sivasangari meliputi kontrak jangka panjang dan sokongan yang kami berikan adalah berbentuk bara­ngan dan wang tunai.

Sebagai rekod, Sivasangari sebelum ini pernah mendapat sokongan daripada CIMB terutama menerusi Program Pembangunan Skuasy Junior CIMB pada awal 2009 dan Biasiswa Akademik CIMB Skuasy selain diberikan biasiswa penuh selama empat tahun pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI