fbpx
Kenyataan yang dikeluarkan jabatan mufti baru-baru ini.

The Ahmadi ‘kuat’ di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tidak perlu solat, asalkan taat kepada Imam al-Mahdi.

Itu merupakan salah satu pegangan pengikut ajaran ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ yang didakwa secara jelas menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Turut dikenali dengan nama ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’, gerakan itu yang didalangi seorang pendeta di Malaysia kini bergerak menyebar luas ajaran tersebut di media sosial.

Mereka menggunakan platform seperti YouTube, Instagram, Facebook, Telegram dan TikTok. Pengikut ajaran itu kerap membuat siaran langsung bagi menyebarkan dakyah mereka dan merekrut pengikut baharu.

Tinjauan Kosmo! di TikTok semalam bagaimanapun mendapati akaun ajaran itu yang mempunyai lebih 30,000 pengikut sudah dinyahaktifkan, namun saluran lain
masih lagi aktif.

Di Telegram, kumpulan tersebut mempunyai seramai 2,000 pengikut.

Mengikut laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, ajaran ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ ditubuhkan pada tahun 1999.

“Ajaran ini diketuai individu yang mengaku dirinya Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq,” kata menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Mac lalu.

Lebih menyesatkan, pengikut kumpulan itu percaya terdapat 12 imam selepas pemerintahan khalifah dan 12 al-Mahdi selepas imam selain mendakwa manusia kini berada pada zaman al-Mahdi kedua.

Kumpulan itu turut mendakwa kaabah tidak lagi berada di Mekah, tetapi di Petra, Jordan.

Selain itu, mereka dikatakan mempunyai kitab ‘suci’ sendiri iaitu The Goal of The Wise: The Gospel Of The Riser of The Family of Muhammad dan Saying of Imam Ahmed al-Hassan.

Kumpulan itu juga didakwa mengha­lalkan arak dan yakin umat Islam selama ini mengerjakan haji dan berpuasa dalam bulan salah kerana bagi mereka Ramadan adalah pada Disember.

Malah, kaum wanita yang mengikuti ajaran itu juga tidak perlu memakai tudung, sebalik­nya hanya perlu menutup dada.

Difahamkan, ajaran tersebut mempunyai pengikut dan ­‘bishop’ yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengesahkan bahawa ajaran The Ahmadi adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Oleh itu, pihak berkuasa agama negara ini akan memastikan semua kandungan di dalam media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh.

Sebelum ini, tular sebuah akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi yang mendapat sambutan ketika bersiaran langsung.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN